On The Spot : Damian Martinez

Selepas Atikah memperkenalkan 2 pemain skuad simpanan yang cukup dikenali para peminat iaitu Ignasi Miquel dan Nico Yennaris, kali ini Atikah akan memperkenalkan anda dengan pemain skuad simpanan yang mula mengorak langkahnya mengetuk pintu skuad utama pada awal musim 2012/2013 selepas kecederaan yang melanda 2 daripada 3 penjaga gol utama Arsenal.

Selepas Manuel Almunia mengorak langkah meninggalkan Arsenal untuk ke Watford, Arsenal hanya ditinggalkan dengan 3 penjaga gol iaitu Wojciech Szczesny, Lukasz Fabianski dan Vito Mannone. Pra musim telah menyaksikan ketiga-tiga pemain ini cergas dan berjuang untuk tempat utama di gawang gol Arsenal sebelum kecederaan mula melanda Szczesny dan juga Fabianski.

Damian Emiliano Martinez yang dilahirkan pada 2 September 1992 di Mar Del Plata, Argentina ini mula kerap dipanggil skuad utama untuk memberikan saingan kepada satu-satunya penjaga gol Arsenal yang cergas iaitu Vito Mannone. Sama ada layangan kad merah yang diterimanya pada perlawanan pertama skuad U-21 menjadi faktor utama Arsene Wenger memanggil penjaga gol muda Argentina ini tidak akan menjadi perkara yang akan diperdebatkan peminat Arsenal.

Menyertai Arsenal daripada Independiete pada tahun 2010 selepas menyinar dalam percubaan bersama Arsenal telah menyaksikan pemain yang lebih dikenali sebagai Emi dikalangan para pemain ini masuk untuk memberikan saingan kepada barisan penjaga gol di Arsenal selepas Szczesny dinaikkan pangkat ke skuad utama. Musim pertamanya telah menyaksikan Martinez menjadi penjaga gol utama untuk skuad U-18.

Hanya setahun kemudian Martinez mula menjadi pilihan untuk skuad simpanan Arsenal dan telah dipanggil memanaskan bangku simpanan skuad utama sebanyak dua kali. Hanya setahun selepas itu Martinez beraksi buat pertama kalinya untuk skuad utama Arsenal telah menunjukkan perkembangan mendadak pemain yang baru berusia 20 tahun ini dan hanya berada di tahun ketiganya di Arsenal.

Martinez beraksi untuk skuad utama Arsenal buat pertama kalinya semasa menentang RSC Anderlecht dalam perlawanan Markus Liebherr Cup pada bulan Julai 2012. Hanya 2 bulan selepas debut bukan kompetitifnya, Martinez telah diberikan debut di perlawanan Piala Capital One menentang Conventry City yang dimenangi Arsenal 6-1.

Martinez juga merupakan penjaga gol dalam kemenangan menakjubkan 7-5 Arsenal ke atas Reading di perlawanan Piala Capital One iaitu penampilan keduanya. Disebalik separuh masa pertama yang goyah, Martinez telah bangki dengan membuat beberapa aksi menyelamat terutama sekali pada masa kecederaan untuk memastikan Arsenal mara ke suku akhir.

Kehadiran semula Wojciech Szczesny yang pulih daripada kecederaan telah menyaksikan Martinez sejak akhir-akhir ini lebih banyak bermain bersama skuad U-21 Arsenal. Martinez pernah dihantar ke Oxford United secara pinjaman kecemasan pada penghujung musim lalu. Martinez beraksi dalam hanya satu perlawanan iaitu perlawanan play off League 2 yang berakhir dengan kekalahan 3-0 kepada Oxford.

Pada Jun 2011, Damian Martinez pernah dipanggil skuad kebangsaan Argentina selepas kecederaan yang melanda salah seorang penjaga gol mereka. Martinez bagaimanapun masih belum membuat debutnya bersama skuad utama Argentina. Martinez setakat ini hanya bermain bersama skuad U-17 dan U-20 Argentina.
Read More

On The Spot : Faye White

Okay. Sebelum ini Atikah telah memperkenalkan tonggak utama pasukan Arsenal Ladies, Kim Little dan pemangku kapten pasukan, Katie Chapman, kini tiba pula giliran Atikah memperkenalkan anda kepada kapten pasukan Arsenal Ladies. Pemain yang bertanggungjawab mengetuai pasukan Arsenal Ladies menjulang sejumlah besar trofi dibawah pimpinannya.

Faye Deborah White yang dilahirkan di Horley, England pada 2 Februari 1978 memulakan kariernya sejak berusia 10 tahun lagi apabila bersama-sama abangnya berlatih bersama sebuah kelab bernama Horley Town. Selepas 3 tahun Faye mengorak langkah dengan menyertai Horsham Ladies dan mula menjadi pemain utama pasukan pada usia baru 14 tahun.

Pada usia 18 tahun Faye White menyertai Arsenal Ladies seterusnya menerima panggilan skuad England buat pertama kalinya. Pada tahun pertamanya di kelab Faye yang merupakan tonggak utama di bahagian pertahanan Arsenal telah berjaya membantu pasukan menjulang kejuaraan liga. Kejuaraan yang kemudiannya dimenangi sebanyak 9 kali lagi.

Sebagai rekod Faye telah memenangi 6 Piala Liga, 9 Piala FA, 1 UEFA Women's Cup dan 3 Piala Perisai komuniti bersama-sama 10 kejuaraan liga. Ianya termaksuk memimpin pasukan Arsenal Ladies yang mencipta sejarah dengan memenangi 4 kejuaraan dalam 1 musim pada tahun ke-20 penubuhan mereka pada musim 2006/2007 hanya setahun selepas kekecewaan pasukan lelaki Arsenal di pentas akhir Champions League.

Namun Faye White langsung tidak terlibat dalam perlawanan final tersebut akibat kecederaan lutut. Namun Faye telah diletakkan dibangku simpanan Arsenal pada perlawan akhir tersebut walaupun pada akhirnya piala tersebut dijulang penolong kapten pasukan, Jayne Ludlow. Hakikatnya Faye terlepas sebahagian besar musim tersebut akibat kecederaan ligamen lutut yang serius dan hanya kembali tepat pada masanya sebelum musim berakhir.

Faye sekali lagi bernasib baik apabila sembuh tepat pada masanya untuk menjulang Piala FA WSL pertama pada tahun 2011. Namun Faye telah memanggil Jayne Ludlow dan Katie Chapman untuk sama-sama menjulang piala tersebut bersamanya memandangkan tugas kapten pasukan Arsenal telah dibahagi-bagikan antara mereka bertiga sepanjang musim tersebut akibat kecederaan yang melanda Faye dan juga Ludlow.

Namun Faye kemudiannya tidak lagi bernasib baik apabila satu lagi kecederaan telah menghalangnya daripada mengetuai pasukan yang memenangi Piala Continental hanya sebulan selepas menjulang FA WSL.

Faye White hanya kembali beraksi bersama skuad Arsenal Ladies pada 18 Mac 2012. Ianya bertahan selama 45 minit sebelum kelibat Faye tidak lagi dilihat. Teka-teki ketiadaan Faye akhirnya terjawab sebulan selepas itu apabila Faye mengumumkan di laman web rasmi Arsenal yang beliau menanti kehadiran cahaya mata pertamanya.

Ianya turut menyaksikan Faye melepaskan jawatan kapten pasukan England dan mengumumkan terus persaraannya di pentas antarabangsa dengan kariernya bersama skuad Arsenal Ladies berada dalam keraguan. Faye telah menegaskan jika beliau meninggalkan Arsenal ianya hanya untuk mengambil alih jawatan lain bukannya untuk cabaran baru dalam kariernya.

Dengan Arsene Wenger telah memberikan sokongannya untuk melihat Faye meneruskan kariernya bersama pasukan Arsenal Ladies, teka teki masa hadapannya berakhir selepas kelahiran anak lelakinya yang diberikan nama Lukas pada bulan Oktober. Faye dilihat bersiap sedia untuk meninggalkan tugasnya sebagai pengulas di ESPN dan BBC untuk kembali mengambil alih lilitan lengan kapten Arsenal Ladies.

Namun dengan khabar angin bertiup bahawa beberapa pemain senior bakal menggantungkan but mereka sebaik tamat musim 2013, akan adanya ketakutan bahawa salah seorang pemain tersebut merupakan Faye. Dengan Faye akan menjadi duta final Champions League 2013 kerana tidak akan menyertai kejohanan tersebut dengan Arsenal Ladies, tahun 2013 mungkin akan menjadi musim terakhirnya. Dan tiada cara yang lebih manis menutup karier serba berjaya Faye dengan satu lagi kejayaan 'quadruple'.

Karier antarabangsa Faye White sehebat karier kelabnya. Membuat debutnya pada umur 19 tahun pada 1997 sebelum membuat debut penuhnya pada 1998 menentang Perancis yang berakhir dengan beliau dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan disusuli dengan mengikut skuad England yang ke EURO 2001.

Tahun 2002 telah menyaksikan Faye dinamakan sebagai kapten pasukan England. Jawatan yang dipegangnya selama 10 tahun sebelum melepaskan jawatan kaptennya yang turut disusuli dengan persaraannya. Faye telah mengetuai pasukannya ke EURO 2005 & 2009 berserta Piala Dunia 2007 & 2011.

Di EURO 2009 Faye telah mengetuai pasukannya mencatatkan keputusan terbaik skuad kebangsaan wanita England setakat ini dengan kejayaan menjadi naib juara. Namun di kejohanan terakhirnya iaitu Piala Dunia 2011 telah berakhir dengan Faye White gagal menyempurnakan sepakan penalti semasa kekalahan England di suku akhir menerusi penentuan penalti kepada Perancis.

Disebalik kegagalan tersebut Faye telah bangkit dengan membantu pasukan kesayangannya, Arsenal Ladies memenangi Liga FA WSL secara tipis mengetepikan Birmingham City pada perlawanan terakhir musim. Malang sekali Faye tidak mengetuai pasukan Great Britain di Olimpik London selepas mengumumkan dirinya menanti cahaya mata pertamanya. Faye juga merupakan duta kepada bidaan Piala Dunia 2018 England.

Disebalik rekod kecederaan lututnya, Faye merupakan pemimpin sejati untuk Arsenal Ladies dan England. Pernah bermain bersama-sama England di final EURO 2009 memakai topeng kerana hidungnya patah pada perlawanan suku akhir EURO 2009. Faye turut disenangi dikalangan para pemain dan masih mampu memberikan motivasi kepada rakan seperjuangannya walaupun tidak beraksi.

'Faye has been a tremendous player and leader for me ever since she made her debut. She is one of the best defenders in the women’s game and an outstanding ambassador and role model.' -Hope Powell (Pengurus skuad kebangsaan England)-
Read More

On The Spot : Tomas Rosicky

Tomas Rosicky yang dilahirkan di Prague, Czech Republik pada 4 October 1980 ialah antara pemain veteran di Arsenal. Selepas memulakan kariernya di CKD Kompresory sebelum menyertai kelab tempatan, Sparta Praque, Rosicky menyertai Borussia Dortmund dengan perpindahan bernilai 14.5 juta euro pada tahun 2001. Karier Rosicky di Dortmund telah menarik perhatian banyak kelab-kelab besar selepas Dortmund mengalami masalah kewangan.

Rosicky pada penghujung musim 2005/2006 telah meluahkan keinginannya untuk meninggalkan pasukan yang sedang mengalami masalah kewangan. Dilaporkan Real Madrid, Chelsea, Atletico Madrid dan Tottenham Hotspurs antara kelab yang berminat dengan pemain yang digelar sebagai The Little Mozart ataupun The Mozart of Football selain daripada Arsenal sendiri.

Pada 23 Mei 2006 Arsenal telah mengesahkan Tomas Rosicky menyertai pasukan dan akan menyarung jersi nombor 7 yang telah ditinggalkan Robert Pires. Rosicky membuat debutnya pada 8 Ogos 2006 pada perlawanan menentang Dinamo Zagreb di pusingan kelayakan Champions League. Rosicky tidak menunggu lama untuk meledak gol pertamanya apabila menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 Arsenal ke atas Hamburg di saingan Champions League.

Pada 6 Januari 2007, Rosicky menjaringkan 2 gol dalam kemenangan 3-1 Arsenal ke atas Liverpool di saingan Piala FA. Gol pertama Rosicky di saingan EPL hanya hadir pada 11 Februari 2007 semasa menentang Wigan Athletic yang juga gol pertama Rosicky di stadium Emirates. Rosicky menamatkan musim debutnya dengan 6 gol daripada 37 perlawanan di semua kejohanan.

Musim keduanya menyaksikan Rosicky hanya beraksi dalam 24 perlawanan sahaja di semua kejohanan dan menjaringkan 7 gol, rekod terbaiknya di Arsenal setakat ini sebelum mengalami kecederaan hamstring yang serius selepas terpaksa dibawa keluar pada minit ke-7 pada perlawanan menentang Newcastle pada 26 Januari 2008.

Walaupun pada mulanya Arsene Wenger menjangkakan Rosicky hanya akan disisihkan selama beberapa hari namun pada akhirnya ianya mengambil masa 18 bulan sebelum Rosicky kembali menyertai latihan pasukan pada Mei 2009. Kecederaan tendon hamstring Rosicky telah memeningkan staf perubatan Arsenal sebelum akhirnya Rosicky menjalani pembedahan pada November 2008 di Jerman.

Rosicky membuat kemunculan pertamanya semasa kekalahan 4-2 Arsenal kepada Manchester City pada 12 September 2009 apabila masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-51. Rosicky kemudiannya mencipta gol pertama untuk Arsenal sebelum menjaringkan satu gol 2 minit sebelum separuh masa kedua tamat.

Pada 4 Januari 2010, Rosicky telah menerima tawaran kontrak baru daripada Arsenal dan ianya menyaksikan pengurus pasukan, Arsene Wenger masih mempunyai kepercayaan kepada Rosicky walaupun ianya mengambil 20 bulan untuk Rosicky kembali beraksi selepas mengalami kecederaan tendon hamstring. Musim 2009/2010 telah menyaksikan Rosicky beraksi dalam 33 perlawanan dan menjaringkan 3 gol.

Rosicky kemudiannya meneruskan musim 2010/2011 tanpa sebarang kecederaan serius dan telah beraksi dalam 34 perlawanan dalam semua kejohanan dan hanya menjaringkan 1 gol. Namun musim 2011/2012 mungkin merupakan musim terbaik Rosicky sejak pulih daripada kecederaan serius yang mengetepikannya selama 20 bulan.

Dengan Cesc Fabregas dan Samir Nasri meninggalkan pasukan terdapat kekosongan sebagai pemain tengah kreatif Arsenal. Dengan Aaron Ramsey bergelut untuk mengisi kekosongan tersebut Rosicky telah mengambil alih posisi tersebut dengan cukup baik sekali dan telah menjadi faktor kepada kebangkitan Arsenal selepas permulaan musim yang mengecewakan.

Menjaringkan gol ketiga yang juga menjadi titik kemenangan bermakna 5-2 Arsenal ke atas Tottenham pada Februari 2012 walaupun ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama mungkin merupakan gol terpenting yang dijaringkan Rosicky. Persembahannya itu kemudiannya dihadiahkan dengan satu lagi kontrak lanjutan pada Mac 2012. Rosicky menamatkan musim 2011/2012 dengan 2 gol daripada 38 perlawanan dan menamatkan musim di tangga ketiga pemain terbaik tahunan Arsenal pilihan peminat.

Musim 2012/2013 telah menyaksikan Rosicky terlepas sebahagian besar separuh pertama musim Arsenal apabila kecederaan Achilles yang dialaminya semasa di EURO 2012 telah mengetepikan Rosicky sebelum beliau kembali beraksi pada 1 Disember 2012. Hanya pada perlawanan keduanya Rosicky sudah berjaya menjaringkan gol semasa tewas 2-1 di Greece.

Tomas Rosicky memulakan karier antarabangsannya bersama Czech Republic pada tahun 2000 lagi pada usia hanya 19 tahun. Rosicky telah ke EURO 2000 & 2004 serta Piala Dunia 2006 bersama Czech Republic. Selepas persaraan Pavel Nedved, Rosicky telah dinamakan sebagai kapten pasukan Czech Republic yang baru.

Selepas membantu pasukan negaranya ke EURO 2008, Rosicky terpaksa terlepas kejohanan tersebut akibat kecederaan. Rosicky akhirnya mengetuai negaranya di EURO 2012 namun terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan suku akhir kerana mengalami kecederaan Achilles.

Radka Kocurova merupakan isteri Tomas Rosicky dan seperti kebanyakan WAGs Arsenal, tidak banyak yang diketahui tentangnya. Sedikit fakta tentang Tomas Rosicky... Rosicky sebenar pandai bermain gitar dan telah meluangkan masanya di tepi padang selepas mengalami kecederaan dengan meningkatkan skillnya sebagai pemain gitar.

'I love Tomas Rosicky game because he is a guy who speeds things up. When the ball gets to him, he has good acceleration power because he has quick short passes and combinations with other players. I am an admirer of his game.' -Arsene Wenger-
Read More

On The Spot : Dennis Bergkamp

Untuk slot ini bulan lepas, Atikah bercerita tentang Mr. Arsenal. Kali ini Atikah akan bercerita pula dengan pemain yang suatu ketika dahulu pernah menyarung jersi nombor 10 Arsenal dan turut dikenali sebagai non flying Dutchman kerana ketakutannya untuk menaiki kapal terbang. Atikah pasti ramai yang dipat meneka dengan tepat siapakan pemain ini.
Dennis Nicolaas Bergkamp yang dilahirkan di Amsterdam, Belanda pada 10 Mei 1969 menyertai Arsenal daripada Inter Milan pada Jun 1995 dengan yuran perpindahan sebanyak 7.5 juta pound yang merupakan rekod perpindahan Arsenal ketika itu dan juga menjadi pemain pertama yang ditandatangani Bruce Rioch.

Dennis Bergkamp memulakan kariernya di Ajax seawal usia 11 tahun lagi sebelum diberikan debut oleh Johan Cyruff. Selepas bermain dalam 239 perlawanan dan menjaringkan sejumlah 122 gol untuk Ajax serta memenangi 1 kejuaraan Eredivisie, 2 Piala KNVB, 1 Piala UEFA dan 1 Piala European Cup Winner, Bergkamp menyertai Inter menerusi perpindahan sebanyak 7.1 juta pound.

Disebalik memenangi Piala UEFA pada musim pertamanya, Bergkamp tidak mempunyai tempoh yang baik di Itali. Kehadiran pemilik baru telah menyaksikan masa depan Bergkamp tidak menentu walaupun menjaringkan 30 gol daripada 81 pernampilan untuk Inter. Selepas 2 tahun, Bergkamp akhirnya berhijrah dengan menyertai Arsenal.

Bergkamp bagaimanapun pada mulanya menghadapi kesulitan dengan melalui 7 perlawanan pertamanya tanpa gol sebelum meledak 2 gol semasa menentang Southampton pada perlawanan kelapannya. Bergkamp mengakhiri musim pertamanya di Arsenal dengan 11 gol daripada 33 perlawanan liga dan telah membantu Arsenal menduduki tempat kelima untuk slot ke Piala UEFA selepas menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan terakhir musim menentang Bolton.

Pada September 1996 Arsene Wenger telah dilantik menjadi pengurus pasukan dan itu telah menjadi titik permulaan karier Bergkamp di Arsenal. Bergkamp kemudiannya menjaringkan 12 gol daripada 29 perlawanan dalam musim pertamanya di bawah bimbingan Arsene Wenger dan telah membantu pasukan menduduki tempat ketiga liga hanya untuk terlepas aksi Eropah melalui perbezaan gol.

Musim ketiganya di Arsenal telah menyaksikan Bergkamp membantu Arsenal memenangi Liga dan Piala FA walaupun pada bulan Disember ramai orang telah menutup peluang Arsenal untuk memenangi kejuaraan liga. Namun Bergkamp terlepas final Piala FA selepas mengalami kecederaan hamstring pada penghujung bulan April.

22 gol yang dijaringkan Bergkamp daripada 40 perlawanan dikesemua kejohanan termasuk hat-trick pertamanya pada perlawanan menentang Leicester City. Musim 1997/1998 tersebut juga menyaksikan Bergkamp dinamakan sebagai PFA Player Of The Year untuk menjadi pemain asing kedua yang berjaya memenanginya.

Selepas Piala Dunia 1998, Bergkamp sekali lagi mempunyai musim yang produktif bersama Arsenal hanya untuk menyaksikan Arsenal menamatkan musim tanpa sebarang kejuaraan. Musim berikutnya menyaksikan masa depan Bergkamp menjadi tanda tanya selepas perpindahan Marc Overmars dan Emmanuel Petit. Bergkamp kemudiannya menandatangani kontrak lanjutan pada Disember 2000 untuk terus kekal di Arsenal.

Kehadiran Thierry Henry dan Sylvain Wiltord pada musim 2000/2001 telah menyaksikan peranan Bergkamp semakin bekurangan di Arsenal di mana Arsenal sekali lagi menamatkan musim di tempat kedua buat kali ketiga berturut-turut. Musim seterusnya telah menyaksikan Bergkamp sekali lagi menjadi faktor penting kejayaan double Arsenal.

Pada 4 Januari 2003, Bergkamp meledak gol ke-100nya untuk Arsenal semasa menentang Oxford United. Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan liga, Arsenal bagaimanapun mempertahankan Piala FA mereka. Pada 20 Julai 2003 pada usia 34 tahun, Bergkamp menandatangani kontrak lanjutan 1 tahun bersama Arsenal dan musim berikutnya terbukti begitu menakjubkan.

Arsenal menamatkan kempen liga musim 2003/2004 dengan tanpa sebarang kekalahan. Pada penghujung musim, Bergkamp sekali lagi kekal komited dengan Arsenal dengan musim berikutnya menyaksikan Arsenal memenangi Piala FA. Disebalik usianya yang mencecah 36 tahun, Bergkamp sekali lagi menandatangani kontrak lanjutan satu tahun selepas para peminat memintanya untuk kekal untuk satu tahun lagi pada perlawanan terakhir musim 2004/2005 di Highbury.

Musim 2005/2006 telah menjadi musim terakhir Dennis Bergkamp di Arsenal. Bergkamp begitu hampir mengakhiri kariernya di Arsenal dengan menjulang Champions League namun Arsenal tewas 2-1 di tangan Barcelona walaupun mendahului perlawanan. Bergkamp telah menamatkan kariernya di Arsenal dengan 423 penampilan dan menjaringkan 120 gol untuk berada di tempat ke-10 senarai penjaring terbanyak kelab.

Ianya jelas satu pencapaian yang menakjubkan untuk seorang pemain yang sering beraksi di belakang penyerang utama dan bukanlah seorang pemain yang selalui menjaringkan gol menerusi 'tap in'. Untuk menghormati karier Bergkamp di Arsenal selama 11 tahun, Arsenal telah membuat perlawanan testimoni untuk lagenda Arsenal ini di stadium yang baru dibuka, Emirates Stadium pada 22 Julai 2006. Seterusnya menutup karier sukses Bergkamp di Arsenal di mana Bergkamp memenangi 3 kejuaraan EPL, 4 Piala FA dan 3 Piala Komuniti.

Karier Bergkamp di Arsenal telah menyaksikan Bergkamp telah diletakkan di English Football Hall of Fame. Pada musim 1997/1998 Bergkamp telah membolot anugerah FWA dan PFA Player Of The Year bersama-sama tempat di PFA Team Of The Year. Gol jaringan Bergkamp juga memenangi anugerah Gol Terbaik Semusim pada musim 1997/1998 dan 2001/2002. Dennis Bergkamp juga dianggap pemain kedua terbaik Arsenal hanya dibelakang Thierry Henry dan juga mengatasi Mr. Arsenal, Tony Adams.

Karier Bergkamp bersama-sama skuad Belanda bermula pada 26 September 1990 pada perlawanan persahabatan menentang Itali. 2 bulan kemudiannya Bergkamp menjaringkan gol pertamanya untuk Belanda semasa menentang Greece. Bergkamp merupakan sebahagian daripada skuad Belanda ke EURO 1992, Piala Dunia 1994, EURO 1996, Piala Dunia 1998 dan EURO 2000 sebelum mengumumkan persaraannya di pentas antarabangsa selepas tewas di separuh akhir EURO 2000 kepada Itali. Bergkamp menamatkan kariernya dengan Belanda dengan 37 gol daripada 77 perlawanan.

Sejurus persaraan Bergkamp, Arsenal telah menawarkan Bergkamp untuk menjadi pencari bakat Arsenal namun ditolak oleh Bergkamp. Pada tahun 2008, walaupun menolak untuk menjadi jurulatih selepas pesaraannya, Bergkamp berkecimpung dengan bidang kejurulatihan dan kini merupakan pembantu pengurus di Ajax. Dennis Bergkamp sendiri sudah berkali-kali memberitahu yang beliau berminat untuk kembali ke Arsenal sebagai jurulatih pada suatu hari nanti.

'He has intelligence and class. Class is, of course, most of the time linked to what you can do with the ball, but the intelligence makes you use the technique in an efficient way. It's like somebody who has a big vocabulary so he can talk intelligently, and that's what Dennis is all about. What he does, there's always a head and always a brain. And his technique allows him to do what he sees.' -Arsene Wenger-
Read More

Laura Harvey set to leave Arsenal Ladies

Tahun 2012 merupakan tahun yang cukup cemerlang bagi pasukan Arsenal Ladies walaupun tewas di separuh akhir Piala FA dan juga ditewaskan Frankfurt 4-1 secara agregat di separuh akhir Champions League 2012. Kejayaan menjulang kejuaraan liga FA WSL tanpa tewas dengan rekod 10 kemenangan dan 4 seri berserta kejayaan mempertahankan Piala Continental diikuti dengan kejayaan membenam Barcelona 7-0 secara agregat di Champions League serta menundukkan Turbine Potsdam 6-4 secara agregat untuk mencipta sejarah sebagai pasukan bola sepak wanita England yang pertama berjaya menumpaskan pasukan dari Jerman sama ada di tempat sendiri ataupun tempat lawan.

Tidak keterlaluan untuk menyebut nama Laura Harvey sebagai faktor utama kejayaan tersebut. Tidak ragu-ragu untuk mengkritik pasukannya disebalik keputusan yang baik dicatatkan mereka dan terus menerus mendesak anak buahnya untuk memberikan yang lebih baik lagi selepas kelalaian pasukan telah mengundang kekalahan 2-0 di tangan musuh ketat Chelsea Ladies di separuh akhir Piala FA.

Menjadi pengurus Arsenal Ladies merupakan tugas impian pengurus berusia 32 tahun ini dan telah menegaskan betapa bangganya beliau apabila dinamakan sebagai pengurus Arsenal Ladies selepas Tony Gervaise membuat keputusan untuk mengundurkan diri. Harvey yang cukup mengenali kelab dilihat tiada masalah untuk meneruskan dominasi Arsenal Ladies di dalam kancah bola sepak wanita England.

Jurulatih yang sebelum ini merupakan pengurus skuad simpanan telah membawa masuk beberapa pemain yang cukup berpotensi daripada pasukan akademi seperti Danielle Carter yang telah memberikan impak bersama-sama skuad utama serta beberapa lagi pemain muda seterusnya meneruskan tradisi kelab mengetengahkan bakat pemain akademi pasukan yang bekerja keras untuk menerima panggilan skuad utama yang telah pun dibarisi para pemain yang cukup bagus.

Laura Harvey telah menyertai barisan kejurulatihan Arsenal Ladies sejak musim panas 2008 lagi dan dalam masa yang sama membantu menguruskan skuad England U-19 sebelum kemudiannya meletak jawatannya pada tahun 2011 untuk memberikan fokus penuhnya kepada Arsenal Ladies selepas mengakui tugasnya ini cukup mencabar dan memerlukan perhatian penuhnya.

Mengambil alih pasukan pada 11 Februari 2010, perlawanan pertamanya sebagai pengurus pasukan Arsenal Ladies adalah 3 hari selepas perlantikannya di perlawanan suku akhir Piala FA menentang Doncaster Rovers Belles. Hat-trick daripada Kim Little dan satu gol daripada Rachel Yankey dan satu lagi gol sendiri telah menyaksikan Laura memenangi perlawanannya dengan penuh bergaya dengan keputusan 5-0.

Perlawanan derby pertama Laura Harvey hadir 3 minggu selepas debut pengurusannya. Hat-trick daripada Helen Lander, Ruesha Littlejohn serta 2 gol daripada Lauren Bruton dan masing-masing satu gol daripada Jayne Ludlow dan Gemma Davison mengesahkan kemenangan besar 10-0 Arsenal Ladies ke atas Tottenham Hotspurs untuk memastikan pasukan mara ke final London FA Women's Senior Cup.

Perlawanan liga pertamanya adalah pada 7 Mac 2010 menentang Blackburn Rovers gol sendiri daripada pemain Blackburn berserta satu gol daripada Gemma Davison, Danielle Carter dan Jayne Ludlow mengesahkan kemenangan 4-1 Arsenal Ladies. 3 hari kemudiannya Laura mengemudi pasukan di perlawanan Champions League pertamanya menentang FCR 2001 Duisburg.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan 2-1 sebelum Arsenal Ladies tersingkir dari suku akhir Champions League selepas tewas 2-0 di perlawanan timbal balik 4 hari kemudiannya. Itu merupakan satu-satunya perlawanan yang menyaksikan pasukan bimbingan Laura Harvey tewas sebelum final Piala FA pada bulan Mei menjadi kekalahan seterusnya oleh pengurus yang baru berusia 29 tahun sewaktu itu.

Kemenangan 3-0 ke atas Leeds Carnegie pada 12 Mei hasil 2 gol daripada Kim Little dan satu lagi gol daripada Gemma Davison di Emirates Stadium mengesahkan kemenangan liga Arsenal Ladies seterusnya muncul sebagai piala pertama Arsenal Ladies di bawah bimbingan Laura Harvey disebalik kemenangan 6-0 ke atas Millwall pada penghujung bulan Mac yang menyaksikan Arsenal Ladies memenangi piala London FA Women's Senior.

Musim penuh pertama Laura Harvey di kelab bermula dengan cukup baik sekali. Kemenangan 12-1 ke atas ZFK Masinac secara agregat telah memulakan musim penuh pertama Laura Harvey. Laura kemudiannya memastikan anak buahnya bangkit daripada ketinggalan 2-0 secara agregat untuk menundukkan pasukan Sepanyol, Rayo Vallecano untuk mara ke suku akhir Champions League.

Arsenal Ladies kemudiannya membalas dendam kekalahan 3-2 mereka ke atas Everton di final Piala FA tahun sebelumnya selepas gol daripada Rachel Yankey dan Katie Chapman memastikan pasukan mara ke separuh akhir Piala FA. Keputusan dramatik di Champions League berterusan di bawah bimbingan Laura Harvey apabila Katie Chapman sekali lagi memastikan pasukan Laura Harvey mara ke separuh akhir Champions League selepas Arsenal Ladies mara menerusi gol ditempat lawan selepas kedudukan terikat 3-3 secara agregat menentang Linkoping.

Kekalahan 2-0 ke atas Lyon minggu sebelumnya tidak menganggu Gilly Flaherty daripada memberikan kemenangan pertama Arsenal Ladies di saingan FA WSL. Disebalik cubaan pasukan untuk meneruskan keputusan dramatik mereka di Champions League, Arsenal akur selepas tewas 3-2 di tangan Lyon seterusnya gagal melayakkan diri ke final Champions League 2011 di Craven Cottage.

2 keputusan mengecewakan sebelum final Piala FA dilihat bakal menggangu pasukan namun Laura Harvey telah memastikan pasukannya memenangi perlawanan tersebut hasil aksi berkelas dunia daripada pemain tengah, Kim Little untuk memastikan Laura Harvey menjulang kejuaraan yang cukup hampir dijulangnya setahun sebelum itu. Lebih manis lagi beliau menjulangnya di bandar tempat kelahirannya.

2 kekalahan yang dicatatkan pasukan di saingan liga berserta hakikat hanya 1 mata berjaya dikutip mereka daripada pendahulu liga, Birmingham City hampir menyaksikan Laura Harvey berputih mata untuk menjulang kejuaraan FA WSL. Namun gol penting Kim Little pada perlawanan kedua terakhir musim menentang Everton memastikan Arsenal Ladies mendahului liga buat pertama kalinya dengan kelebihan 1 mata.

2 gol daripada Rachel Yankey dan penalti daripada Kim Little mengesahkan kemenangan 3-1 Arsenal Ladies ke atas Liverpool Ladies seterusnya memastikan Birmingham menyaksikan pasukan bimbingan Laura Harvey menjulang kejuaraan FA WSL. Birmingham kemudiannya gagal membalas dendam apabila tunduk 4-1 di tangan Arsenal Ladies di perlawanan akhir Piala Continental seterusnya mengesahkan kejuaraan treble pertama Arsenal Ladies sejak musim 2008/2009 dan yang pertama dibawah bimbingan Laura Harvey.

Selepas memastikan Arsenal Ladies mara ke separuh akhir Champions League 2011 serta kejayaan treble dan membawa pasukannya mara ke suku akhir Champions League 2012, Laura Harvey telah dinamakan sebagai pengurus terbaik tahunan FA WSL hasil pencapaian Harvey sepanjang tahun 2011 yang juga musim penuh pertamanya di Arsenal Ladies.

Tahun 2012 menyaksikan Arsenal Ladies sekali lagi gagal mara ke final Champions League kali ini tewas 4-1 secara agregat kepada Frankfurt. Selepas tewas 2-0 kepada Chelsea di separuh akhir Piala FA, Harvey telah memastikan pasukannya memenangi liga dengan rekod tanpa tewas sebelum melengkapkan double dengan kemenangan 1-0 ke atas Birmingham di final Piala Continental.

Laura turut membimbing pasukannya mencatatkan kemenangan bermakna 7-0 secara agregat menentang Barcelona Ladies sebelum memastikan pasukannya mencatatkan kemenangan bersejarah 2-1 dan 4-3 ke atas kelab Jerman, 1. FFC Turbine Potsdam seterusnya memastikan pasukannya menamatkan tahun 2012 dengan nota cemerlang.

Selepas pasukan-pasukan lain di FA WSL membawa masuk beberapa nama besar beserta pertukaran pengurus pasukan, Arsenal Ladies telah dikejutkan dengan tawaran Seattle Regins FC yang merapati pengurus pasukan berusia 32 tahun ini. Laura Harvey yang mengakui ianya merupakan keputusan yang cukup sukar buatnya untuk meninggalkan Arsenal Ladies, namun pada akhirnya tawaran yang ditawarkan pasukan professional dari Amerika Syarikat tersebut cukup sukar untuk ditolaknya.

Arsenal Ladies yang bersiap sedia dengan pra-musim serta perlawanan Champions League menentang ASD Torres pada bulan Mac nanti kini perlu mencari pengurus baru untuk menggantikan pengurus yang cukup berjaya selepas menggantikan Tony Gervaise 2 setengah tahun yang lalu dan seterusnya nama beliau akan sebaris dengan nama Vic Akers di kalangan peminat Arsenal Ladies atas segala trofi yang dimenangi di kelab serta pengurusannya di Arsenal Ladies.

Para pemain sudah semestinya bakal merasai kehilangan pengurus pasukan mereka ini dan teka teki siapa bakal menggantikannya akan terus menjadi persoalan sehingga Vic Akers mengumumkan siapa bakal membimbing Arsenal Ladies untuk terus mendominasi bola sepak wanita di England. Apa yang pasti peminat Arsenal Ladies akan berharap pengurus keempat mereka itu akan meneruskan tradisi Arsenal Ladies yang beraksi dengan corak serangan dan formasi 4-3-3.

Selamat maju jaya Atikah ucapkan kepada Laura Harvey dan Atikah pasti pintu pasukan Arsenal Ladies akan terus terbuka kepada pengurus pasukan yang telah membimbing pasukan memenangi 6 trofi kejuaraan dalam tempoh 2 tahun setengahnya membimbing Arsenal Ladies untuk kembali pada bila-bila masa. Adios.
Read More

On The Spot : Nico Yennaris

Minggu ketiga December On The Spot akan menyaksikan seorang lagi pemain daripada pasukan akademi yang sering mengetuk pintu skuad utama. Selepas Atikah memperkenalkan Ignasi Miquel pada bulan lepas, bulan ini akan menyaksikan Atikah memperkenalkan para peminat Arsenal dengan pemain bek kanan dan juga pemain tengah, Nico Yennaris.

Nicholas Harry Yennaris dilahirkan pada 24 Mei 1993 di Leytonstone, London, England. Yennaris menyertai akademi pasukan seawal usia 7 tahun lagi pada tahun 2001 dan menandatangani kontrak professionalnya pada Julai 2010 dan kemudiannya membuat debutnya bersama pasukan utama pada 25 Oktober 2011 pada perlawanan Piala Carling bertemu Bolton.

Pada 15 Januari 2012 Yennaris membuat debutnya di Piala FA semasa menentang Leeds United sebelum masuk mengantikan Johan Djourou pada 22 Januari untuk debutnya di EPL pada perlawanan menentang Manchester United. 12 tahun selepas menjadi maskot Arsenal pada perlawanan menentang Coventry City, Yennaris mencipta sejarah apabila kemudiannya turun beraksi menentang Coventry pada perlawanan Piala Capital One yang juga merupakan kali pertama Yennaris beraksi di bahagian tengah bersama skuad utama.

Pernah dipinjamkan seketika ke Notts County melalui perjanjian pinjaman kecemasan, Nico Yennaris telah beraksi dalam 2 perlawanan untuk Notts County sebelum masalah kesihatan memendekkan tempohnya bersama Notts County. Yennaris yang menandatangani kontrak lanjutan bersama Arsenal pada 1 Ogos yang lalu merupakan kapten pasukan U-19 Arsenal yang beraksi di NextGen Series.

Yennaris merupakan peminat Arsenal sejak kecil lagi turut menyertai Arsenal pada jelajah pra-musim di Asia selepas sembuh sepenuhnya daripada 'glandular fever' yang dialaminya semasa menyertai Notts County secara pinjaman. Walaupun aksi di pasukan utama dilihat agak terhad, kemampuan Yennaris jelas mengembirakan para peminat. 

Yennaris yang cukup versatil dan tidak kisah sama ada bermain di posisi bek kanan ataupun di bahagian tengah dilihat akan menjadi pemain akademi seterusnya yang berjaya menyerap masuk ke dalam skuad utama. Dengan persaingan yang agak sengit di posisi bek kanan dan bahagian tengah, Yennaris pastinya mengetahui beliau perlu berkerja dengan lebih keras untuk diserapkan ke dalam pasukan utama dan juga paling penting mengelakkan daripada sebarang kecederaan yang dilihat sedikit sebanyak membantutkan perkembangannya. 

'I like Nico because he has 100 per cent focus, good physical qualities, good intelligence, good reading of the game and personality. He is a guy who, believe me, will make a big career. He has what it takes to be always better, his whole career will improve because he has the mental abilities of somebody who is suited to the top level.' -Arsene Wenger-
Read More