27 January 2014

Review : 20-26 January 2014

Untuk artikel kali ini mari kita imbas kembali perkara yang berlaku sepanjang 20 hingga 26 Januari.. Artikel ini akan meliputi setiap berita di kem Arsenal daripada pasukan utama, akademi dan Ladies. Termasuk berita tentang Arsenal secara umumnya dan beberapa khabar angin di pasaran pintu perpindahan yang semakin hampir untuk ditutup.

Kita mulakan dengan pasukan utama. Arsenal telah mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Coventry City di pusingan keempat Piala FA untuk menempah tiket ke pusingan kelima yang akan menyaksikan Arsenal menanti kunjungan Liverpool. Lukas Podolski memberikan pendahuluan kepada Arsenal seawal minit ke-15 sebelum menggandakan jaringannya pada minit ke-27. Olivier Giroud yang menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal menentang Coventry musim lalu, sekali lagi meledakkan gol menentang Coventry untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-84. Santi Cazorla yang berada di prestasi terbaiknya sejak akhir-akhir ini melengkapkan kemenangan Arsenal dengan gol keempat perlawanan pada minit ke-89.

Pemain tengah kelahiran Jerman berusia 16 tahun, Gedion Zelalem telah diberikan debutnya oleh Arsene Wenger apabila beliau dimasukkan pada minit ke-71 menggantikan Alex Oxlade-Chamberlain yang berada di kesebelasan utama buat pertama kalinya sejak Ogos 2013. Debut pasukan utama Zelalem hanya 2 hari sebelum beliau menyambut ulang tahun ke-17nya dan ulang tahun pertamanya di kelab. Zelalem dijangka menandatangani kontrak professional tidak lama lagi memandangkan beliau kini sudah berusia 17 tahun.

Kita mulakan dengan pasukan akademi pula. Penolong pengurus VFL Wolfsburg, Andries Jonker telah disahkan bakal menyertai Arsenal pada musim panas ini sebagai pengganti Liam Brady sebagai pengarah akademi Arsenal. Jonker mempunyai pelbagai pengalaman daripada mendidik bakat muda Belanda kepada penolong pengurus di Barcelona dan Bayern Munich kepada pengurus sementara Bayern Munich sebelum menyertai VFL Wolfsburg. Walaupun lagenda kelab, Dennis Bergkamp pernah dikaitkan dengan jawatan tersebut, penolong pengurus Wolfsburg daripada Belanda ini yang akan meneruskan tradisi kelab mencari pemain muda berbakat sebaik pemergiaan Liam Brady yang akan memegang peranan sebagai duta kelab.

4 hari sebelum perlawanan Piala FA Arsenal menentang Coventry City, Alex Oxlade-Chamberlain dan Carl Jenkinson telah beraksi untuk pasukan U-21 Arsenal yang mencatatkan kekalahan 4-2 di tangan Liverpool U-21. Benik Afobe menyamakan kedudukan kepada 1-1 pada minit ke-25 namun Arsenal hanya mampu menjaringkan gol ke-2 pada minit ke-87 menerusi Isaac Hayden yang menyaksikan Arsenal gagal untuk mengelak daripada kekalahan.

Pasukan U-18 pula mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Reading U-18 di mana Arsenal bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mengutip 1 mata. Tarum Dawkins menyamakan kedudukan pada minit ke-32 sebelum Jack Jebb menjaringkan gol penyamaan dan terakhir perlawanan pada minit ke-52. Arsenal U-18 kemudiannya mencatatkan kekalahan 2-1 kepada Everton U-18 dengan Alex Iwobi menjaringkan gol pada minit ke-87 yang gagal untuk memastikan Arsenal bangkit untuk mengelakkan kekalahan.

Pasukan akademi turut mengucapkan selamat tinggal kepada striker berusia 19 tahun, Anthony Jeffrey yang meninggalkan pasukan selepas hampir 11 tahun bersama kelab secara persetujuan bersama sebelum beliau menyertai kelab League Two, Wycombe Wanderers.

Kita beralih pula ke pasukan Arsenal Ladies. Pemain sayap kiri, Rachel Yankey telah memberikan berita gembira di kem Arsenal Ladies apabila telah bersetuju dengan kontrak lanjutan seterusnya mengekalkan beliau di kelab yang telah disokongnya sejak kecil. Yankey yang pada awal tahun ini menerima anugerah OBE atas kerjanya untuk bola sepak wanita menyifatkan ianya satu kebangaan untuk mewakili Arsenal dan gembira kerana mempunyai peluang untuk terus melakukannya.

Sementara itu Arsenal Ladies telah menghantar 2 wakil untuk sesi bergambar bahagian kedua untuk kempen FA Women's Super League 2014. Jika sebelum ini Jordan Nobbs dan Danielle Carter telah mewakili kelab, dua pemain baru, Siobhan Chamberlain dan Casey Stoney mengenakan jersi baru mereka di sesi bergambar tersebut.

Kini kita sentuh pula tentang khabar angin perpindahan. Pemain Schalke 04, Julian Draxler terus kuat dikaitkan dengan Arsenal. Beberapa laporan telah menyebut Arsenal telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan Draxler yang dilaporkan telah mendesak kelabnya untuk melepaskannya ke Arsenal. Namun tiada sebarang berita rasmi lagi dan Arsene Wenger berterusan menafikannya walaupun peminat sedia maklum Wenger selalunya ada maksud tersirat di sebalik penafiannya.

Sementara itu Emmanuel Frimpong pula telah kuat dikaitkan dengan satu perpindahan keluar secara tetap dari Arsenal. Walaupun telah pulih sepenuhnya daripada satu lagi kecederaan ACL, Frimpong berterusan diketepikan Arsene Wenger dan aksinya lebih terbatas kepada aksi bersama skuad U-21 Arsenal. Dengan kontraknya bakal tamat pada penghujung musim ini, Frimpong dijangka akan mencari kelab terbaru dalam masa terdekat ini dan berkemungkinan meninggalkan Emirates Stadium sebelum pintu perpindahan ditutup.

Arsenal Ladies turut tidak terlepas dengan khabar angin. Pemain berusia 19 tahun Belgium yang kini beraksi bersama kelab Jerman, MSV Duisburg, Jackie Groenen kini sedang menjalani ujian percubaan dengan Arsenal Ladies dan kelabnya telah mengakui mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepaskan pemain tengah yang pernah memenangi pelbagai anugerah untuk Belanda dalam acara Judo. Dengan pengurus pasukan, Shelley Kerr mengakui masa ada beberapa lagi pemain baru akan dibawa masuk, Groenen mungkin antara salah seorang pemain tersebut jika beliau berjaya menambat perhatian Shelley.

Untuk menutup artikel ini, pemain muda Arsenal yang juga bekas kapten pasukan U-21 dan U-19 Arsenal, Nico Yennaris yang boleh beraksi di posisi bek kanan dan sebagai midfielder, Nico Yennaris telah sah menyertai pendahulu League One, Brentford FC secara perpindahan tetap. Pernah menjadi maskot Arsenal hampir 14 tahun lalu, semoga berjaya di kelab baru, Nico Yennaris! Terima kasih atas segalanya.

0 comments:

Post a Comment