04 February 2014

Review : 27 January - 3 February

Kita teruskan review mingguan di blog Atikah Arsenal.... Sepanjang minggu lalu begitu banyak perkara yang berlaku. Jadi seperti biasa kita mulakan dengan skuad utama Arsenal terlebih dahulu.

Selepas blog terakhir dipostkan, Arsenal telah mengumumkan Puma sebagai penaja jersi Arsenal FC yang baru selepas 20 tahun bersama Nike. Perjanjian yang memecah rekod penajaan Arsenal dan Puma dilaporkan bernilai £30 juta  setahun selama 5 tahun. Puma akan menaja jersi Arsenal berkuat kuasa 1 Julai ini.

Berita Arsenal sah akan ditaja Puma mulai musim depan gagal memberikan kemenangan kepada Arsenal semasa perlawanan menentang Southampton. Arsenal ketinggalan pada minit ke-21, keputusan yang kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Olivier Giroud menyamakan kedudukan 3 minit selepas separuh masa kedua bermula sebelum Santi Cazorla memberikan pendahuluan kepada Arsenal pada minit ke-52 hanya untuk menyaksikan Southampton menyamakan kedudukan seminit kemudian. Keputusan yang mengecewakan dan menambahkan lagi duka Mathieu Flamini dilayangkan kad merah dan akan digantung 3 perlawanan.

Pada hari terakhir perpindahan Arsenal telah membawa masuk pemain berpengalaman Sweden, Kim Kallstrom daripada Spartak Moscow secara pinjaman untuk menjadi back up pemain tengah Arsenal yang dilanda krisis kecederaan dengan Aaron Ramsey mengalami 'set back' dan dijangka diketepikan selama 6 minggu lagi sementara Jack Wilshere kembali bergelut dengan kecederaan buku lali dan Flamini akan digantung 3 perlawanan.

Namun kehadiran Kallstrom agak mengejutkan apabila pihak perubatan Arsenal mengenal pasti kecederaan micro-frature vertebra yang akan menyisihkannya selama kemungkinan 4 minggu. Namun Arsene Wenger mengakui berita tersebut diketahui agak lewat untuk mencari pengganti secara pinjaman percuma dengan kualiti seperti Kim Kallstrom. Namun Wenger yakin Kallstrom akan menjadi penambahan berkualiti sama ada sebagai pemain back up barisan tengah Arsenal ataupun mungkin apabila turun beraksi beliau akan menjaringkan gol kemenangan.

Pada hari terakhir perpindahan turut menyaksikan Emmanuel Frimpong meninggalkan pasukan secara tetap dengan perpindahan ke Barnsley. Sementara penyerang skuad akademi, Benik Afobe dipinjamkan sehingga penghujung musim ke Sheffield Wednesday dan pemain pertahanan akademi, Daniel Boateng menyertai kelab Scotland, Hibernian secara pinjaman.

Perlawanan terakhir minggu lalu menyaksikan Arsenal kembali ke takhta liga dengan kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace hasil 2 gol daripada Alex Oxlade-Chamberlain yang mengisi posisi tengah dan bergandingan bersama-sama Mikel Arteta. Kemenangan tersebut menyaksikan Arsenal kini kembali mendahului liga dengan kelebihan 2 mata di hadapan Manchester City dan Chelsea yang menundukkan City 1-0 awal pagi tadi.

Kita teruskan pula dengan pasukan akademi.... Arsenal U-21 mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea U-21 di masa tambahan di suku akhir U-21 Premier League Cup hasil gol tunggal Benik Afobe yang mengesahkan kemaraan U-21 ke separuh akhir. Malangnya kejayaan tersebut gagal diulangi skuad U-21 apabila terpaksa seri 2-2 dengan Norwich City di saingan liga. Norwich mendahului seawal minit ke-3 namun Austin Lipman menyamakan kedudukan pada minit ke-21 sebelum Brandon Ormande-Ottewill memberikan pendahuluan kepada Arsenal pada minit ke-55. Namun Norwich berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan hasil sepakan penalti selepas Semi Ajayi menjatuhkan pemain Norwich.

Skuad U-18 pula akhirnya berjaya mencatatkan kemenengan di saingan liga buat pertama kali sejak kejayaan pada hari pembukaan musim apabila menundukkan Aston Villa U-18 2-0 hasil gol daripada Jack Jebb pada minit ke-43 dan Tarum Dawkins pada minit ke-61.

Kita teruskan dengan pasukan Arsenal Ladies dan kita akan mulakan dengan senarai IFFHS yang telah dikeluarkan.Untuk anugerah The World's Best Woman Goalkeeper, penjaga gol nombor 1 Arsenal Ladies menunjukkan bukti mengapa beliau dianggap antara penjaga gol terbaik di dunia apabila berada di tangga keempat. Penjaga gol USWNT dan Seattle Reign, Hope Solo mengekalkan takhtanya sebagai penjaga gol wanita terbaik dunia sementara pemenang Ballon d'Or yang menjadi hero negaranya di EURO 2013, Nadine Angerer berada di tempat kedua dan penjaga gol Denmark yang mencuri tumpuan di EURO 2013, Stina Lykke Petersen berada di tempat ketiga hanya 3 mata di hadapan Emma Byrne yang beraksi untuk Republik Ireland yang langsung tidak beraksi di EURO 2013.

Untuk anugerah The World's Best Woman Playmaker, Alex Scott muncul satu-satunya pemain pertahanan di dalam senarai yang di kuasai pemain tengah ataupun penyerang. Alex berada di tangga ke-6. Anugerah ini dimenangi pemain VFL Wolsfburg dan Jerman, Lena Goessling yang memenangi treble bersama kelabnya dan menjulang EURO 2013 bersama negaranya. Alex Scott boleh berbangga dengan pencapaiannya ini di mana beliau mengatasi kapten pasukan Canada, Christine Sinclair dan hanya dibelakang 5 pemain yang bernama besar di dunia bola sepak wanita yang mengisi posisi tengah ataupun sebagai penyerang.

Untuk Kelab Bola Sepak Wanita Terbaik Dunia, Arsenal Ladies menghuni tangga keempat. Satu pencapaian yang membanggakan jika melihat senarai Top 3. VFL Wolfsburg yang memenangi 3 trofi sepanjang tahun 2013 berada di tempat pertama sementara Olympique Lyon yang mendominasi bola sepak Perancis dan naib juara UEFA Women's Champions League turun ditangga kedua hasil kegagalan mereka di final UEFA Women's Champions League. Kelab US, Portland Thorns yang memenangi kejuaraan NWSL, hanya 10 mata dihadapan Arsenal. Ketiga-tiga pasukan sudah semestinya beraksi di liga yang lebih berprestij berbanding FA WSL yang masih cuba mengecap nama sebagai antara liga terbaik bola sepak wanita.

Kita teruskan dengan berita kapten pasukan dan penolong pengurus Arsenal Ladies, Kelly Smith telah bersetuju dengan satu kontrak lanjutan. Berita ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Kelly pernah memberitahu beliau mengalu-alukan kemungkinan bersara di kelab kesayangannya, Arsenal dan dengan beliau telah menolak kemungkinan untuk bersara pada penghujung musim lalu, berita ini memang sudah dijangkakan. Kelly telah memberitahu beliau fokus untuk cergas sepanjang musim ini untuk membantu pasukan di atas padang selain di luar padang sebagai kapten dan penolong pengurus.

Sehari selepas Kelly Smith sah menandatangani kontrak lanjutan, Arsenal Ladies telah mengumumkan ketibaan pemain keempat terbaru mereka. Pemain Scotland, Christie Murray telah menyertai Arsenal daripada kelab gergasi Scotland, Glasgow City Ladies. Pemain yang boleh mengisi posisi tengah ataupun beraksi sebagai penyerang ini sememangnya satu lagi ketibaan yang mengujakan selepas kehadiran penjaga gol terbaik liga, Siobhan Chamberlain, kepulangan semula graduan akademi dan kapten pasukan England, Casey Stoney dan ketibaan pemain Belanda, Anouk Hoogendijk yang mendapat perhatian meluas.

Menutup artikel ini ialah Arsenal Ladies telah mengesahkan Ciara Grant dan Yvonne Tracy yang telah berkhidmat selama 15 dan 13 tahun telah meninggalkan kelab. Ciara akan menyertai Reading yang dibimbing bekas penolong pasukan Arsenal Ladies, Jayne Ludlow dan Yvonne akan turut meneruskan karier bola sepaknya di Ireland dengan beliau dijangka menyertai Peamount United. Terima kasih atas segalanya Ciara da Yvonne. Best of luck in the future!! Agak meyedihkan kini hanya tinggal 2 lagi pemain Republik Ireland bersama pasukan, iaitu Emma Byrne dan Niamh Fahey berbanding sejumlah 4 sepanjang 5 tahun yang lalu dan pernah seketika sehingga 7 pemain pada awal tahun 2000. Harap Arsenal Ladies tidak akan kehilangan 'Irish' luck mereka.

0 comments:

Post a Comment