11 September 2014

Review : Arsenal Summer Signing

Pintu perpindahan telah pun ditutup dan berikut adalah urusan perpindahan Arsenal sepanjang musim perpindahan musim panas 2014.

In : Alexis Sanchez (FC Barcelona), Mathieu Debuchy (Newcastle United), David Ospina (OGC Nice), Calum Chambers (Southampton), Danny Welbeck (Manchester United)

Out : Bacary Sagna (Manchester City), Lukasz Fabianski (Swansea City), Thomas Eisfeld (Fulham), Nico Yennaris (Brentford), Thomas Vermaelen (FC Barcelona), Nicklas Bendtner (VFL Wolfsburg), Ignasi Miquel (Norwich City), Johan Djourou (SV Hamburg), Chuks Aneke (Zulte Weregem), Zak Ansah (Charlton Athletic), Park Chu Young (Released), Daniel Boateng (Released)

Loan Out : Carl Jenkinson (West Ham United), Ryo Miyaichi (FC Twente), Jon Toral (Bradford FC), Kristoffer Olsson (FC Midtjylland), Benik Afobe (MK Dons), Wellington Silva (UD Almeria)

Alexis Sanchez merupakan pembelian pertama Arsenal di jendela perpindahan dan pemain bernama besar yang ditandatangani Arsenal musim perpindahan kali ini. Selepas menyinar bersama Chile di Piala Dunia di Brazil, Arsenal pantas membuat tawaran kepada Barcelona yang ketika itu sedang berbincang dengan Liverpool untuk mendapatkan Luis Suarez. Walaupun pada mulanya Alexis telah ditawarkan ke Liverpool, Alexis menegaskan beliau mahu menyertai Arsenal dan ini telah menyaksikan tawaran Arsenal diterima Barcelona.

Alexis telah diberikan jersi nombor 17 dengan Nacho Monreal pula menyarung jersi nombor 18. Ianya tidaklah mengejutkan memandangkan nombor seperti 7 disarung Tomas Rosicky, 10 Jack Wilshere dan 11 Mesut Ozil. Pembelian yang dilaporkan mencecah 30-35 juta pound ini sudah pun menunjukkan sekilas bakatnya di Arsenal setakat ini.

Menjaringkan 2 gol sebelum rehat perlawanan antarabangsa, Alexis jelas telah menyesuaikan diri dengan pantas. Mampu beraksi sebagai pemain sayap mahupun sebagai penyerang tengah, pengalamannya di Serie A bersama Udinese dan La Liga bersama Barcelona jelas akan membantunya di EPL, liga paling mencabar di dunia. Setakat ini Alexis Sanchez telah menunjukkan Arsenal membuat pilihan tepat untuk mendapatkannya.

Sebaik beliau menyesuaikan diri sepenuhnya dan kepulangan Theo Walcott, jentera serangan Arsenal akan menjadi jentera serangan yang paling digeruni. Dengan Mesut Ozil, Aaron Ramsey, Jack Wilshere dan Santi Cazorla sebagai playmaker Arsenal, Alexis akan mempunyai banyak passing-passing cantik daripada rakan sepasukan barunya.

Mathieu Debuchy merupakan pembelian kedua Arsenal. Walaupun Debuchy jelas telah pun menyertai Arsenal daripada Newcastle United selepas berakhir kempen Piala Dunia Perancis, Arsenal terpaksa menunggu sehingga Newcastle mengumumkan pengganti Debuchy sebelum boleh mengumumkan pembelian bernilai 12 juta pound ini. Dibawa masuk sebagai pengganti Bacary Sagna, bek utama pilihan Perancis ini jelas merupakan pengganti berkaliber kepada pemain paling konsisten Arsenal.

Mempunyai pengalaman selama 2 tahun di EPL, Debuchy tidak akan mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di England. Debuchy telah mendedahkan sebaik ejennya memberitahu Arsenal berminat untuk mendapatkannya, beliau pantas menjawab ya. Walaupun menerima kad merah pada perlawanan ketiganya untuk Arsenal, Debuchy telah pantas menyesuaikan diri bersama pasukan dan telah membina gandingan mantap bersama Alexis Sanchez (apabila Alexis beraksi sebagai pemain sayap kanan).

Dengan pemergian Lukasz Fabianski yang telah muncul penjaga gol back up berkaliber sejak beberapa musim lalu, Arsenal pantas menandatangani penjaga gol berpengalaman Colombia, David Ospina daripada OGC Nice dengan harga 3 juta pound. Harga yang cukup rendah untuk penjaga gol yang cukup berpengalaman dan hanya baru berusia 26 tahun.

Ospina jelas akan memberikan saingan sengit kepada Wojciech Szczesny sebagai penjaga gol pilihan utama Arsenal. Kecederaan yang dialaminya di Piala Dunia telah menyaksikan Ospina terpaksa menunggu sehingga September sebelum menjalani latihan pertamanya. Ospina dijangka akan memanaskan bangku simpanan pada aksi menentang Manchester City Sabtu ini.

Pemain berprofil rendah yang dibeli Arsenal sepanjang pintu perpindahan kali ini namun merupakan pembelian paling pantas mencipta impak. Arsenal membayar Southampton sejumlah besar 16 juta pound untuk khidmat bek kanan berusia 19 tahun, Calum Chambers. Namun ketiadaan Per Mertesacker telah menyaksikan Chambers bergandingan bersama Laurent Koscielny dan Nacho Monreal di saingan Piala Emirates dan beliau pantas mencuri perhatian peminat menerusi aksi mantapnya sebagai bek tengah.

Selepas aksi debut kompetitifnya berakhir dengan clean sheet dan kejayaan trofi Piala Komuniti menentang juara EPL musim lalu, Manchester City. Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol atau mencipta sebarang assist, Chambers telah dinobatkan sebagai pemain terbaik bulan Ogos Arsenal pilihan peminat selepas aksi yang konsisten di barisan pertahanan Arsenal di mana beliau memulakan kesemua perlawanan kecuali aksi menentang Besiktas di Emirates dan Leicester namun beliau kemudiannya masuk sebagai pemain gantian.

Walaupun dibeli sebagai bek kanan, Chambers telah mengukuhka kedudukannya sebagai bek tengah pilihan ketiga di Arsenal dan ianya dilaporkan telah menjadi faktor mengapa Arsenal tidak bertindak membawa masuk bek tengah yang baru kerana tidak mahu menganggu perkembangan Chambers di Arsenal. Pemain yang baru membuat debutnya untuk England selepas cemerlang di Arsenal, dilihat turut mempunyai kemahiran untuk beraksi sebagai defensive midfielder.

Pembelian deadline day Arsenal dan pembelian paling mengejutkan sepanjang musim perpindahan kali ini. Kecederaan serius Olivier Giroud telah menyaksikan Arsene Wenger mempertimbangkan kemungkinan membawa masuk penyerang baru. Arsenal akhirnya berjaya memujuk Manchester United untuk menjual Daniel Welbeck ke Arsenal pada harga 16 juta pound walaupun pada mulanya bekeras tidak mahu menjual kepada Arsenal.

Selepas desakan Welbeck sendiri yang mahu perpindahan ke Emirates berbanding White Hart Lane, Man. United akhirnya bersetuju untuk mendengar tawaran Arsenal. Perpindahan ini menerima 'mix emotion' daripada peminat Arsenal namun beberapa lagenda Man. Utd seperti Paul Scholes, Rio Ferdinand dan Gary Neville telah menyaksikan mereka yakin Welbeck akan cemerlang di Arsenal dan Manchester United akan menyesali keputusan mereka.

Dijangka membuat debutnya pada aksi menentang Manchester City, Welbeck jelas akan cuba menarik perhatian Arsenal menerusi persembahan cemerlang selepas menjaringkan 2 gol untuk England beberapa hari lepas. Welbeck hanya perlu menyudahkan peluang yang dicipta rakan sepasukan dan menjaringkan gol-gol penting dan peminat Arsenal akan cepat memuji bekas graduan Manchester United ini.

Ianya dilihat musim perpindahan yang cukup berjaya untuk Arsenal kali ini dengan hanya Thomas Vermaelen pemain bernama besar yang meninggalkan Arsenal. Namun kegagalan untuk membawa masuk bek tengah atau pemain tengah bertahan dilihat mungkin akan mengundang padah untuk Arsenal melainkan pemain akademi 'step up' apabila diperlukan dan pemain yang dilupakan, Francis Coquelin mengunakan peluang yang akan diterimanya dengan baik, Arsenal dilihat tidak akan mempunyai banyak masalah.

Kejayaan mengekalkan Joel Campbell di Arsenal dilihat satu kejayaan walaupun Wenger masih ragu-ragu untuk menurunkannya. Secara keseluruhannya Arsenal mempunyai skuad yang mantap jika tiada kecederaan serius berlaku pada masa yang sama. Harapnya ianya akan menjadi satu lagi musim di mana Arsenal menjulang trofi kejuaraan pada penghujung musim. #COYG

0 comments:

Post a Comment