12 September 2014

Arsenal Ladies Welcome New Manager

Selepas 4 bulan beraksi tanpa pengurus, Arsenal Ladies akhirnya menerima kehadiran pengurus baru mereka, Pedro Martinez Losa. Bukan calang-calang pengurus, pengurus berbangsa Sepanyol ini merupakan pengurus yang berjaya di Sepanyol sebelum menerima tawaran Western New York Flash di United States sebagai assistant coach. Berita beliau telah dinamakan sebagai pengurus baru Arsenal Ladies telah menerima reaksi gembira daripada peminat Arsenal Ladies yang teruja dengan 'resume' Pedro Losa sementara peminat WNYF pula bersedih dengan kehilangan assistant coach mereka.

Shelley Kerr telah meletak jawatan seminggu sebelum final Piala FA selepas prestasi buruk di saingan liga sepanjang dikendalikan pengurus berbangsa Scotland tersebut. Arsenal buat pertama kalinya tidak akan beraksi di pentas Eropah sejak Fulham memenangi liga pada musim 2002/2003 selepas menamatkan musim di tempat ke-3 selepas 2 keputusan seri tanpa jaringan dalam tempoh seminggu dan kontroversi 3 mata dipotong hasil kesilapan administrator yang tidak menyedari Katie Chapman tidak boleh beraksi untuk aksi menentang Liverpool Ladies. Situasi yang cukup menyedihkan memandangkan Arsenal Ladies telah pun mendahului 3-0 tanpa Katie Chapman dan hanya kerana beberapa minit beliau beraksi, pasukan terpaksa membayar dengan harga yang cukup mahal.

Walaupun dengan 3 kekalahan dan 1 keputusan seri daripada 4 perlawanan liga di mana Arsenal Ladies menghuni tangga terakhir liga pada separuh pertama musim, Arsenal Ladies cukup kebal di saingan Piala FA dengan musuh setempat, Chelsea Ladies antara mangsa apabila ditewaskan 5-3 di separuh akhir sebelum long-time rival, Everton Ladies ditewaskan di final dengan keputusan 2-0 untuk memastikan Arsenal Ladies mempertahankan trofi Piala FA mereka dan menjulang Piala FA ke-13 mereka.

Dengan John Bayer dan kapten pasukan, Kelly Smith bekerjasama mengambil alih pasukan semasa Arsenal Ladies masih dalam proses mencari pengurus baru, nasib Arsenal Ladies mula berubah di separuh kedua musim. Rachel Yankey kembali beraksi setiap perlawanan selepas disisihkan Shelley Kerr dan Niamh Fahey membina gandingan mantap bersama-sama Casey Stoney di posisi bek tengah dengan Emma Mitchell dan Alex Scott berterusan memberikan aksi konsisten di bek kiri dan kanan Arsenal Ladies.

Duo akademi graduate, Leah Williamson dan Jade Bailey turut memainkan peranan penting dengan kembalinya Jordan Nobbs daripada kecederaan, Arsenal Ladies tidak lagi menoleh kebelakang dan pemain pinjaman, Turid Knaak turut memberikan impak dalam 'revival' Arsenal Ladies. Sebelum kehadiran Pedro, Arsenal Ladies telah mencatatkan 4 kemenangan 2 kekalahan dan 1 keputusan seri daripada 7 perlawanan dan meneruskan kemaraan mereka ke final Piala Continental buat kali keempat berturut-turut sepanjang tempoh John Bayer dan Kelly Smith mengendalikan pasukan.

Pedro Losa mempunyai rekod yang cukup cemerlang di mana di US, beliau merupakan penolong pengurus Western New York Flash yang memenangi NWSL Shield pada tahun 2013 selepas menamatkan 'regular season' di tempat pertama dan naib juara NWSL Championship pada tahun yang sama selepas tewas kepada Portland Thorns di aksi 'play-off'. Beliau turut bekerjasama dengan 2012 FIFA Women's Player of the Year, Abby Wambach.

Di Sepanyol, Pedro Losa mengendalikan C.F Pozuelo sebelum mengendali Rayo Vallecano di mana beliau mula mencipta nama. Beliau mengendalikan pasukan untuk kejuaraan Piala Sepanyol pada tahun 2008 iaitu trofi pertama dalam sejarah kelab. Rayo Vallecano kemudiannya mengungguli saingan liga dari tahun 2009 hingga 2011. Pada November 2010, Rayo Vallecano yang dibimbing Pedro Losa telah menumpaskan Arsenal 2-0 di last 16 first leg. Arsenal kemudiannya menumpaskan Rayo 4-1 di Boreham Wood walaupun beraksi dengan 10 pemain.

Rekodnya cukup mengkagumkan namun adakah beliau mampu menyaingi rekod Vic Akers dan Laura Harvey sebagai pengurus yang berjaya di Arsenal Ladies? Walaupun Shelley Kerr memenangi 3 trofi dalam tempoh 18 bulannya di Arsenal, beliau masih dianggap satu kegagalan atas faktor kedudukan kelab di saingan liga. Standart yang cukup tinggi di Arsenal Ladies dan Pedro Losa perlu memastikan beliau mampu menaikkan kembali nama Arsenal Ladies dan memastikan tiada lagi penghijrahan besar-besaran pemain tonggak kali ini. Pemain yang akan dibawa masuknya turut penting.

Pedro Losa akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 15 September ini dan perlawanan pertamanya adalah menentang Bristol Academy WFC 5 hari kemudiannya. Beliau turut berpeluang untuk memenangi trofi pertamanya bulan depan hanya sebulan selepas mengambil alih pasukan apabila Arsenal Ladies akan menentang Manchester City WFC di final Piala Continental. Good luck Pedro Martinez Losa on your new adventure with Arsenal Ladies!