On The Spot : Damian Martinez

Selepas Atikah memperkenalkan 2 pemain skuad simpanan yang cukup dikenali para peminat iaitu Ignasi Miquel dan Nico Yennaris, kali ini Atikah akan memperkenalkan anda dengan pemain skuad simpanan yang mula mengorak langkahnya mengetuk pintu skuad utama pada awal musim 2012/2013 selepas kecederaan yang melanda 2 daripada 3 penjaga gol utama Arsenal.

Selepas Manuel Almunia mengorak langkah meninggalkan Arsenal untuk ke Watford, Arsenal hanya ditinggalkan dengan 3 penjaga gol iaitu Wojciech Szczesny, Lukasz Fabianski dan Vito Mannone. Pra musim telah menyaksikan ketiga-tiga pemain ini cergas dan berjuang untuk tempat utama di gawang gol Arsenal sebelum kecederaan mula melanda Szczesny dan juga Fabianski.

Damian Emiliano Martinez yang dilahirkan pada 2 September 1992 di Mar Del Plata, Argentina ini mula kerap dipanggil skuad utama untuk memberikan saingan kepada satu-satunya penjaga gol Arsenal yang cergas iaitu Vito Mannone. Sama ada layangan kad merah yang diterimanya pada perlawanan pertama skuad U-21 menjadi faktor utama Arsene Wenger memanggil penjaga gol muda Argentina ini tidak akan menjadi perkara yang akan diperdebatkan peminat Arsenal.

Menyertai Arsenal daripada Independiete pada tahun 2010 selepas menyinar dalam percubaan bersama Arsenal telah menyaksikan pemain yang lebih dikenali sebagai Emi dikalangan para pemain ini masuk untuk memberikan saingan kepada barisan penjaga gol di Arsenal selepas Szczesny dinaikkan pangkat ke skuad utama. Musim pertamanya telah menyaksikan Martinez menjadi penjaga gol utama untuk skuad U-18.

Hanya setahun kemudian Martinez mula menjadi pilihan untuk skuad simpanan Arsenal dan telah dipanggil memanaskan bangku simpanan skuad utama sebanyak dua kali. Hanya setahun selepas itu Martinez beraksi buat pertama kalinya untuk skuad utama Arsenal telah menunjukkan perkembangan mendadak pemain yang baru berusia 20 tahun ini dan hanya berada di tahun ketiganya di Arsenal.

Martinez beraksi untuk skuad utama Arsenal buat pertama kalinya semasa menentang RSC Anderlecht dalam perlawanan Markus Liebherr Cup pada bulan Julai 2012. Hanya 2 bulan selepas debut bukan kompetitifnya, Martinez telah diberikan debut di perlawanan Piala Capital One menentang Conventry City yang dimenangi Arsenal 6-1.

Martinez juga merupakan penjaga gol dalam kemenangan menakjubkan 7-5 Arsenal ke atas Reading di perlawanan Piala Capital One iaitu penampilan keduanya. Disebalik separuh masa pertama yang goyah, Martinez telah bangki dengan membuat beberapa aksi menyelamat terutama sekali pada masa kecederaan untuk memastikan Arsenal mara ke suku akhir.

Kehadiran semula Wojciech Szczesny yang pulih daripada kecederaan telah menyaksikan Martinez sejak akhir-akhir ini lebih banyak bermain bersama skuad U-21 Arsenal. Martinez pernah dihantar ke Oxford United secara pinjaman kecemasan pada penghujung musim lalu. Martinez beraksi dalam hanya satu perlawanan iaitu perlawanan play off League 2 yang berakhir dengan kekalahan 3-0 kepada Oxford.

Pada Jun 2011, Damian Martinez pernah dipanggil skuad kebangsaan Argentina selepas kecederaan yang melanda salah seorang penjaga gol mereka. Martinez bagaimanapun masih belum membuat debutnya bersama skuad utama Argentina. Martinez setakat ini hanya bermain bersama skuad U-17 dan U-20 Argentina.
Read More

On The Spot : Faye White

Okay. Sebelum ini Atikah telah memperkenalkan tonggak utama pasukan Arsenal Ladies, Kim Little dan pemangku kapten pasukan, Katie Chapman, kini tiba pula giliran Atikah memperkenalkan anda kepada kapten pasukan Arsenal Ladies. Pemain yang bertanggungjawab mengetuai pasukan Arsenal Ladies menjulang sejumlah besar trofi dibawah pimpinannya.

Faye Deborah White yang dilahirkan di Horley, England pada 2 Februari 1978 memulakan kariernya sejak berusia 10 tahun lagi apabila bersama-sama abangnya berlatih bersama sebuah kelab bernama Horley Town. Selepas 3 tahun Faye mengorak langkah dengan menyertai Horsham Ladies dan mula menjadi pemain utama pasukan pada usia baru 14 tahun.

Pada usia 18 tahun Faye White menyertai Arsenal Ladies seterusnya menerima panggilan skuad England buat pertama kalinya. Pada tahun pertamanya di kelab Faye yang merupakan tonggak utama di bahagian pertahanan Arsenal telah berjaya membantu pasukan menjulang kejuaraan liga. Kejuaraan yang kemudiannya dimenangi sebanyak 9 kali lagi.

Sebagai rekod Faye telah memenangi 6 Piala Liga, 9 Piala FA, 1 UEFA Women's Cup dan 3 Piala Perisai komuniti bersama-sama 10 kejuaraan liga. Ianya termaksuk memimpin pasukan Arsenal Ladies yang mencipta sejarah dengan memenangi 4 kejuaraan dalam 1 musim pada tahun ke-20 penubuhan mereka pada musim 2006/2007 hanya setahun selepas kekecewaan pasukan lelaki Arsenal di pentas akhir Champions League.

Namun Faye White langsung tidak terlibat dalam perlawanan final tersebut akibat kecederaan lutut. Namun Faye telah diletakkan dibangku simpanan Arsenal pada perlawan akhir tersebut walaupun pada akhirnya piala tersebut dijulang penolong kapten pasukan, Jayne Ludlow. Hakikatnya Faye terlepas sebahagian besar musim tersebut akibat kecederaan ligamen lutut yang serius dan hanya kembali tepat pada masanya sebelum musim berakhir.

Faye sekali lagi bernasib baik apabila sembuh tepat pada masanya untuk menjulang Piala FA WSL pertama pada tahun 2011. Namun Faye telah memanggil Jayne Ludlow dan Katie Chapman untuk sama-sama menjulang piala tersebut bersamanya memandangkan tugas kapten pasukan Arsenal telah dibahagi-bagikan antara mereka bertiga sepanjang musim tersebut akibat kecederaan yang melanda Faye dan juga Ludlow.

Namun Faye kemudiannya tidak lagi bernasib baik apabila satu lagi kecederaan telah menghalangnya daripada mengetuai pasukan yang memenangi Piala Continental hanya sebulan selepas menjulang FA WSL.

Faye White hanya kembali beraksi bersama skuad Arsenal Ladies pada 18 Mac 2012. Ianya bertahan selama 45 minit sebelum kelibat Faye tidak lagi dilihat. Teka-teki ketiadaan Faye akhirnya terjawab sebulan selepas itu apabila Faye mengumumkan di laman web rasmi Arsenal yang beliau menanti kehadiran cahaya mata pertamanya.

Ianya turut menyaksikan Faye melepaskan jawatan kapten pasukan England dan mengumumkan terus persaraannya di pentas antarabangsa dengan kariernya bersama skuad Arsenal Ladies berada dalam keraguan. Faye telah menegaskan jika beliau meninggalkan Arsenal ianya hanya untuk mengambil alih jawatan lain bukannya untuk cabaran baru dalam kariernya.

Dengan Arsene Wenger telah memberikan sokongannya untuk melihat Faye meneruskan kariernya bersama pasukan Arsenal Ladies, teka teki masa hadapannya berakhir selepas kelahiran anak lelakinya yang diberikan nama Lukas pada bulan Oktober. Faye dilihat bersiap sedia untuk meninggalkan tugasnya sebagai pengulas di ESPN dan BBC untuk kembali mengambil alih lilitan lengan kapten Arsenal Ladies.

Namun dengan khabar angin bertiup bahawa beberapa pemain senior bakal menggantungkan but mereka sebaik tamat musim 2013, akan adanya ketakutan bahawa salah seorang pemain tersebut merupakan Faye. Dengan Faye akan menjadi duta final Champions League 2013 kerana tidak akan menyertai kejohanan tersebut dengan Arsenal Ladies, tahun 2013 mungkin akan menjadi musim terakhirnya. Dan tiada cara yang lebih manis menutup karier serba berjaya Faye dengan satu lagi kejayaan 'quadruple'.

Karier antarabangsa Faye White sehebat karier kelabnya. Membuat debutnya pada umur 19 tahun pada 1997 sebelum membuat debut penuhnya pada 1998 menentang Perancis yang berakhir dengan beliau dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan disusuli dengan mengikut skuad England yang ke EURO 2001.

Tahun 2002 telah menyaksikan Faye dinamakan sebagai kapten pasukan England. Jawatan yang dipegangnya selama 10 tahun sebelum melepaskan jawatan kaptennya yang turut disusuli dengan persaraannya. Faye telah mengetuai pasukannya ke EURO 2005 & 2009 berserta Piala Dunia 2007 & 2011.

Di EURO 2009 Faye telah mengetuai pasukannya mencatatkan keputusan terbaik skuad kebangsaan wanita England setakat ini dengan kejayaan menjadi naib juara. Namun di kejohanan terakhirnya iaitu Piala Dunia 2011 telah berakhir dengan Faye White gagal menyempurnakan sepakan penalti semasa kekalahan England di suku akhir menerusi penentuan penalti kepada Perancis.

Disebalik kegagalan tersebut Faye telah bangkit dengan membantu pasukan kesayangannya, Arsenal Ladies memenangi Liga FA WSL secara tipis mengetepikan Birmingham City pada perlawanan terakhir musim. Malang sekali Faye tidak mengetuai pasukan Great Britain di Olimpik London selepas mengumumkan dirinya menanti cahaya mata pertamanya. Faye juga merupakan duta kepada bidaan Piala Dunia 2018 England.

Disebalik rekod kecederaan lututnya, Faye merupakan pemimpin sejati untuk Arsenal Ladies dan England. Pernah bermain bersama-sama England di final EURO 2009 memakai topeng kerana hidungnya patah pada perlawanan suku akhir EURO 2009. Faye turut disenangi dikalangan para pemain dan masih mampu memberikan motivasi kepada rakan seperjuangannya walaupun tidak beraksi.

'Faye has been a tremendous player and leader for me ever since she made her debut. She is one of the best defenders in the women’s game and an outstanding ambassador and role model.' -Hope Powell (Pengurus skuad kebangsaan England)-
Read More

On The Spot : Tomas Rosicky

Tomas Rosicky yang dilahirkan di Prague, Czech Republik pada 4 October 1980 ialah antara pemain veteran di Arsenal. Selepas memulakan kariernya di CKD Kompresory sebelum menyertai kelab tempatan, Sparta Praque, Rosicky menyertai Borussia Dortmund dengan perpindahan bernilai 14.5 juta euro pada tahun 2001. Karier Rosicky di Dortmund telah menarik perhatian banyak kelab-kelab besar selepas Dortmund mengalami masalah kewangan.

Rosicky pada penghujung musim 2005/2006 telah meluahkan keinginannya untuk meninggalkan pasukan yang sedang mengalami masalah kewangan. Dilaporkan Real Madrid, Chelsea, Atletico Madrid dan Tottenham Hotspurs antara kelab yang berminat dengan pemain yang digelar sebagai The Little Mozart ataupun The Mozart of Football selain daripada Arsenal sendiri.

Pada 23 Mei 2006 Arsenal telah mengesahkan Tomas Rosicky menyertai pasukan dan akan menyarung jersi nombor 7 yang telah ditinggalkan Robert Pires. Rosicky membuat debutnya pada 8 Ogos 2006 pada perlawanan menentang Dinamo Zagreb di pusingan kelayakan Champions League. Rosicky tidak menunggu lama untuk meledak gol pertamanya apabila menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 Arsenal ke atas Hamburg di saingan Champions League.

Pada 6 Januari 2007, Rosicky menjaringkan 2 gol dalam kemenangan 3-1 Arsenal ke atas Liverpool di saingan Piala FA. Gol pertama Rosicky di saingan EPL hanya hadir pada 11 Februari 2007 semasa menentang Wigan Athletic yang juga gol pertama Rosicky di stadium Emirates. Rosicky menamatkan musim debutnya dengan 6 gol daripada 37 perlawanan di semua kejohanan.

Musim keduanya menyaksikan Rosicky hanya beraksi dalam 24 perlawanan sahaja di semua kejohanan dan menjaringkan 7 gol, rekod terbaiknya di Arsenal setakat ini sebelum mengalami kecederaan hamstring yang serius selepas terpaksa dibawa keluar pada minit ke-7 pada perlawanan menentang Newcastle pada 26 Januari 2008.

Walaupun pada mulanya Arsene Wenger menjangkakan Rosicky hanya akan disisihkan selama beberapa hari namun pada akhirnya ianya mengambil masa 18 bulan sebelum Rosicky kembali menyertai latihan pasukan pada Mei 2009. Kecederaan tendon hamstring Rosicky telah memeningkan staf perubatan Arsenal sebelum akhirnya Rosicky menjalani pembedahan pada November 2008 di Jerman.

Rosicky membuat kemunculan pertamanya semasa kekalahan 4-2 Arsenal kepada Manchester City pada 12 September 2009 apabila masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-51. Rosicky kemudiannya mencipta gol pertama untuk Arsenal sebelum menjaringkan satu gol 2 minit sebelum separuh masa kedua tamat.

Pada 4 Januari 2010, Rosicky telah menerima tawaran kontrak baru daripada Arsenal dan ianya menyaksikan pengurus pasukan, Arsene Wenger masih mempunyai kepercayaan kepada Rosicky walaupun ianya mengambil 20 bulan untuk Rosicky kembali beraksi selepas mengalami kecederaan tendon hamstring. Musim 2009/2010 telah menyaksikan Rosicky beraksi dalam 33 perlawanan dan menjaringkan 3 gol.

Rosicky kemudiannya meneruskan musim 2010/2011 tanpa sebarang kecederaan serius dan telah beraksi dalam 34 perlawanan dalam semua kejohanan dan hanya menjaringkan 1 gol. Namun musim 2011/2012 mungkin merupakan musim terbaik Rosicky sejak pulih daripada kecederaan serius yang mengetepikannya selama 20 bulan.

Dengan Cesc Fabregas dan Samir Nasri meninggalkan pasukan terdapat kekosongan sebagai pemain tengah kreatif Arsenal. Dengan Aaron Ramsey bergelut untuk mengisi kekosongan tersebut Rosicky telah mengambil alih posisi tersebut dengan cukup baik sekali dan telah menjadi faktor kepada kebangkitan Arsenal selepas permulaan musim yang mengecewakan.

Menjaringkan gol ketiga yang juga menjadi titik kemenangan bermakna 5-2 Arsenal ke atas Tottenham pada Februari 2012 walaupun ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama mungkin merupakan gol terpenting yang dijaringkan Rosicky. Persembahannya itu kemudiannya dihadiahkan dengan satu lagi kontrak lanjutan pada Mac 2012. Rosicky menamatkan musim 2011/2012 dengan 2 gol daripada 38 perlawanan dan menamatkan musim di tangga ketiga pemain terbaik tahunan Arsenal pilihan peminat.

Musim 2012/2013 telah menyaksikan Rosicky terlepas sebahagian besar separuh pertama musim Arsenal apabila kecederaan Achilles yang dialaminya semasa di EURO 2012 telah mengetepikan Rosicky sebelum beliau kembali beraksi pada 1 Disember 2012. Hanya pada perlawanan keduanya Rosicky sudah berjaya menjaringkan gol semasa tewas 2-1 di Greece.

Tomas Rosicky memulakan karier antarabangsannya bersama Czech Republic pada tahun 2000 lagi pada usia hanya 19 tahun. Rosicky telah ke EURO 2000 & 2004 serta Piala Dunia 2006 bersama Czech Republic. Selepas persaraan Pavel Nedved, Rosicky telah dinamakan sebagai kapten pasukan Czech Republic yang baru.

Selepas membantu pasukan negaranya ke EURO 2008, Rosicky terpaksa terlepas kejohanan tersebut akibat kecederaan. Rosicky akhirnya mengetuai negaranya di EURO 2012 namun terlepas perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan suku akhir kerana mengalami kecederaan Achilles.

Radka Kocurova merupakan isteri Tomas Rosicky dan seperti kebanyakan WAGs Arsenal, tidak banyak yang diketahui tentangnya. Sedikit fakta tentang Tomas Rosicky... Rosicky sebenar pandai bermain gitar dan telah meluangkan masanya di tepi padang selepas mengalami kecederaan dengan meningkatkan skillnya sebagai pemain gitar.

'I love Tomas Rosicky game because he is a guy who speeds things up. When the ball gets to him, he has good acceleration power because he has quick short passes and combinations with other players. I am an admirer of his game.' -Arsene Wenger-
Read More