25 January 2013

On The Spot : Damian Martinez

Selepas Atikah memperkenalkan 2 pemain skuad simpanan yang cukup dikenali para peminat iaitu Ignasi Miquel dan Nico Yennaris, kali ini Atikah akan memperkenalkan anda dengan pemain skuad simpanan yang mula mengorak langkahnya mengetuk pintu skuad utama pada awal musim 2012/2013 selepas kecederaan yang melanda 2 daripada 3 penjaga gol utama Arsenal.

Selepas Manuel Almunia mengorak langkah meninggalkan Arsenal untuk ke Watford, Arsenal hanya ditinggalkan dengan 3 penjaga gol iaitu Wojciech Szczesny, Lukasz Fabianski dan Vito Mannone. Pra musim telah menyaksikan ketiga-tiga pemain ini cergas dan berjuang untuk tempat utama di gawang gol Arsenal sebelum kecederaan mula melanda Szczesny dan juga Fabianski.

Damian Emiliano Martinez yang dilahirkan pada 2 September 1992 di Mar Del Plata, Argentina ini mula kerap dipanggil skuad utama untuk memberikan saingan kepada satu-satunya penjaga gol Arsenal yang cergas iaitu Vito Mannone. Sama ada layangan kad merah yang diterimanya pada perlawanan pertama skuad U-21 menjadi faktor utama Arsene Wenger memanggil penjaga gol muda Argentina ini tidak akan menjadi perkara yang akan diperdebatkan peminat Arsenal.

Menyertai Arsenal daripada Independiete pada tahun 2010 selepas menyinar dalam percubaan bersama Arsenal telah menyaksikan pemain yang lebih dikenali sebagai Emi dikalangan para pemain ini masuk untuk memberikan saingan kepada barisan penjaga gol di Arsenal selepas Szczesny dinaikkan pangkat ke skuad utama. Musim pertamanya telah menyaksikan Martinez menjadi penjaga gol utama untuk skuad U-18.

Hanya setahun kemudian Martinez mula menjadi pilihan untuk skuad simpanan Arsenal dan telah dipanggil memanaskan bangku simpanan skuad utama sebanyak dua kali. Hanya setahun selepas itu Martinez beraksi buat pertama kalinya untuk skuad utama Arsenal telah menunjukkan perkembangan mendadak pemain yang baru berusia 20 tahun ini dan hanya berada di tahun ketiganya di Arsenal.

Martinez beraksi untuk skuad utama Arsenal buat pertama kalinya semasa menentang RSC Anderlecht dalam perlawanan Markus Liebherr Cup pada bulan Julai 2012. Hanya 2 bulan selepas debut bukan kompetitifnya, Martinez telah diberikan debut di perlawanan Piala Capital One menentang Conventry City yang dimenangi Arsenal 6-1.

Martinez juga merupakan penjaga gol dalam kemenangan menakjubkan 7-5 Arsenal ke atas Reading di perlawanan Piala Capital One iaitu penampilan keduanya. Disebalik separuh masa pertama yang goyah, Martinez telah bangki dengan membuat beberapa aksi menyelamat terutama sekali pada masa kecederaan untuk memastikan Arsenal mara ke suku akhir.

Kehadiran semula Wojciech Szczesny yang pulih daripada kecederaan telah menyaksikan Martinez sejak akhir-akhir ini lebih banyak bermain bersama skuad U-21 Arsenal. Martinez pernah dihantar ke Oxford United secara pinjaman kecemasan pada penghujung musim lalu. Martinez beraksi dalam hanya satu perlawanan iaitu perlawanan play off League 2 yang berakhir dengan kekalahan 3-0 kepada Oxford.

Pada Jun 2011, Damian Martinez pernah dipanggil skuad kebangsaan Argentina selepas kecederaan yang melanda salah seorang penjaga gol mereka. Martinez bagaimanapun masih belum membuat debutnya bersama skuad utama Argentina. Martinez setakat ini hanya bermain bersama skuad U-17 dan U-20 Argentina.

0 comments:

Post a Comment