11 August 2012

Review Arsenal players at Olympics

Seramai 8 pemain Arsenal turut serta di kejohanan Olimpik London 2012 dengan 7 daripada pemain tersebut mewakili pasukan bola sepak Great Britain dan seorang lagi mewakili Korea Selatan dengan 6 pemain Arsenal Ladies dipanggil sementara hanya 2 pemain daripada pasukan utama Arsenal. 7 pemain Arsenal pulang dengan penuh hampa di suku akhir sementara Park Chu Young pulang dengan pingat gangsa.

6 pemain Arsenal Ladies yang dipanggil ialah Kelly Smith yang hampir-hampir disisihkan hanya untuk menyaksikan beliau cergas sepenuhnya untuk kejohanan ini sambil ditemani rakan baiknya Alex Scott dengan Steph Houghton yang berada di prestasi terbaiknya musim ini turut dipanggil. Ellen White merupakan seorang lagi pemain yang sempat pulih daripada kecederaan untuk menyertai kejohanan ini bersama-sama pemain sayap kiri, Rachel Yankey dan permata Scotland di Arsenal, Kim Little.

Sementara dua pemain pasukan utama Arsenal yang dipanggil ialah kapten kebangsaan Wales, Aaron Ramsey dan penyerang Korea Selatan Arsenal, Park Chu Young. Arsene Wenger boleh dikira bertuah hanya kehilangan dua pemain ini selepas Ryo Miyaichi secara sensasinya di gugurkan daripada skuad Jepun ke Olimpik sementara Kieran Gibbs dan juga Jack Wilshere (yang kemudiannya sah terlepas kejohanan ini akibat menjalani pembedahan kecil) tidak dipanggil walaupun Stuart Pearce dilihat bersedia membangkitkan kemarahan Wenger.

Daripada kesemua pemain Arsenal yang beraksi di Olimpik London, Steph Houghton mendahului senarai dengan jumlah gol dan juga persembahan cemerlangnya walaupun diturunkan beraksi di posisi bek kiri, iaitu posisi baru untuk Houghton yang merupakan pemain yang serba boleh. Cukup cemerlang bertahan dan cukup berbahaya menyerang, Houghton telah menjadi kejutan di Olimpik London.

Tiada seorang pun yang menjangkakan Steph akan menjadi pencabar sebagai penjaring gol terbanyak di Olimpik London dan tiada seorang pun yang menjangkakan Stephanie Houghton menjaringkan gol pertama untuk pasukan Great Britain di Olimpik dan menjaringkan gol kemenangan semasa menentang New Zealand dan juga semasa kemenangan sensasi ke atas Brazil.

Mengikut jejak langkah Steph Houghton ialah Kim Little. Daripada permulaan lagi sudah ramai menjangkakan kehadiran Little akan membantu skuad Hope Powell dan memberikan dimensi baru kepada skuad kendalian Hope Powell. Walaupun gagal memberikan impak di perlawanan pertama, Kimmy mula membuatkan pasukan lawan memberikan perhatian kepadanya selepas cemerlang di perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang Cameroon dengan mencipta 2 gol daripada 3 gol yang dijaringkan pasukannya dan hampir-hampir untuk meletakkan namanya selaku penjaring jika bukan kerana ketangkasan penjaga gol Cameroon.

Perlawanan menentang Brazil telah menyaksikan Little cukup selesa dengan mengawal sepenuhnya bahagian tengah. Ianya telah menyaksikan pengurus Canada mengakui Hope Powell telah menemui permata melalui Kim Little dan jelas sekali Kim perlu dikawal untuk memastikan kemenangan pasukannya ke atas pasukan Great Britain. Walaupun gagal menjaringkan sebarang gol untuk pasukan Great Britain, persembahannya di bahagian tengah jelas memberikan Hope sesuatu yang hilang daripada pasukan kebangsaan Englandnya.

Kelly Smith turut cemerlang di Olimpik selepas masih segar dengan 2 golnya untuk Arsenal sebelum ke Olimpik telah berada di prestasi terbaiknya di Olimpik. Cukup selasa berlegar-legar di bahagian serangan pasukan Great Britain, Kelly tidak bernasib baik apabila gagal menjaringkan sebarang gol dengan sepakan penalti yang diambilnya semasa menentang Brazil telah diselamatkan penjaga gol.

Namun lebih malangnya Kelly dipaksa terlepas perlawanan suku akhir selepas kerisauan mengenai kecederaan yang dialaminya semasa menentang Brazil dan ianya jelas menyaksikan Great Britain membayar harga yang mahal selepas ketiadaannya menyaksikan mereka terkandas di peringkat suku akhir di tangan Canada.

Alex Scott turut konsisten di bahagian bek kanan Great Britain apabila seperti kebiasaannya beliau mengunakan kepantasannya untuk mengucar kacirkan bahagian pertahanan pasukan lawan dan cukup kebal di posisi bek kanan apabila tidak ramai pemain yang mampu menewaskannya. Alex telah menghiasi bahagian kanan pasukan Great Britain dengan kelibatnya.

Ellen White yang cukup cemerlang di Piala Dunia musim lepas tidak begitu cemerlang di Olimpik kali ini. Masih lagi mencari-cari prestasi terbaiknya selepas disisihkan dalam satu tempoh yang lama akibat kecederaan belakang, Ellen gagal menjaringkan sebarang gol dan telah mensia-siakan peluang satu lawan satunya pada perlawanan menentang New Zealand sebelum buntu mencari jalan untuk pasukannya menundukkan Canada.

 Ketiadaan Rachel Yankey di posisi sayap kiri telah menjadi tanda tanya. Yankey hanya masuk sebagai pemain gantian dalam kesemua perlawanan Olimpik namun ianya masih tidak menghalang Rachel daripada sekali sekala menunjukkan sekilas kemampuannya dengan hantaran-hantarannya dari sebelah kiri jelas berjaya mengucar-kacirkan bahagian pertahanan pasukan lawan dari semasa ke semasa.

Aaron Ramsey turut cemerlang di Olimpik walaupun hanya menjaringkan satu gol menerusi penalti dan kemudiannya gagal menjaringkan penalti yang mungkin mampu membawa pasukan Great Britain ke separuh akhir. Ramsey dilihat selesa bergandingan dengan Joe Allen dan Tom Cleverly di bahagian tengah pasukan GB dan peminat Arsenal pastinya berharap Aaron mampu mengekalkan prestasi tersebut bersama pasukan Arsenal.

Park Chu Young turut tidak melalui kempen Olimpik yang mengecewakan apabila meledak 2 gol untuk pasukan Korea Selatan termasuk gol pendahuluan untuk pasukannya semasa memenangi pingat gangsa. Walaupun Park melalui kempen Olimpik yang cemerlang tiada siapa dapat menjanjikan beliau lebih peluang untuk bermain bersama-sama Arsenal terutama sekali dengan kehadiran Olivier Giroud.

Apa-apa pun Atikah ucapkan tahniah kepada semua pemain Arsenal yang membanggakan Arsenal di Olimpik London 2012 terutama sekali Steph Houghton yang menjadi bahan bualan media melalui prestasi cemerlang di Olimpik. 'We'll do Arsenal proud', itulah janji Steph dan beliau berjaya melakukannya. Sama seperti kesemua pemain Arsenal yang lain yang beraksi di Olimpik London 2012.

Dengan EPL akan bermula pada 18 Ogos, Aaron Ramsey dan Park Chu Young dijangka akan terlepas perlawanan pembukaan musim Arsenal menentang Sunderland dengan mereka dijangka akan diberikan rehat sebelum kembali menjalani latihan bersama-sama pasukan sementara 6 pemain Arsenal Ladies perlu bersedia kembali mengharungi separuh kedua musim FA WSL pada 19 Ogos.

Laura Harvey dan staf perubatan Arsenal Ladies sudah semestinya akan melihat sekali lagi tentang kecederaan Kelly Smith sementara Steph Houghton dan Alex Scott yang mengharungi setiap minit perlawanan di Olimpik pastinya akan diperhatikan tahap kecergasan mereka. Apa yang pasti pasukan Arsenal Ladies tidak mahu kehilangan walau seorang pun daripada 6 pemain tersebut terutama sekali mereka semakin hampir dengan kejuaraan liga dan sudah pun berada di separuh akhir Piala Continental. Adios.

0 comments:

Post a Comment