19 November 2012

On The Spot : Ignasi Miquel

Minggu ketiga bulan November akan menyaksikan kita mengenali salah seorang daripada pemain akademi yang sedang/akan mengetuk pintu skuad utama. Pemain yang akan kita bincangkan kali ini cukup dikenali para peminat Arsenal selepas mula membuat debutnya pada musim 2010/2011 dan sejak itu telah mengukuhkan posisinya sebagai pilihan nombor 1 Arsene Wenger untuk dipanggil daripada skuad simpanan setiap kali berlakunya kecederaan di barisan pertahanan skuad utama.
Ignasi Miquel Pons ataupun lebih dikenali sebagai Ignasi Miquel malahan Iggy di kalangan pemain-pemain Arsenal dilahirkan di Barcelona, Sepanyol pada 28 September 1992. Miquel merupakan pemain pertahanan tengah berkaki kiri namun turut boleh beraksi di posisi bek kiri di bawah bimbingan Wenger. Miquel juga merupakan kapten pasukan simpanan Arsenal ataupun kini dikenali sebagai skuad U-21 Arsenal sejak musim 2010/2011 lagi.

Miquel memulakan kariernya di akademi termashur 'La Masia'. Namun selepas 5 tahun, Miquel dilepaskan Barcelona selepas menganggap Miquel tidak cukup bagus. Ini menyaksikan Miquel cuba memulihkan kariernya di UE Cornella  sebelum Miquel mula mewakili skuad simpanan Cornella dan seterusnya dipanggil menyertai skuad Sepanyol U-16.

Perkembangan Miquel telah menarik perhatian Manchester United dan Valencia CF yang telah memanggil Miquel untuk menjalani sesi percubaan namun pada akhirnya Arsenal yang berjaya mendapatkan Miquel selepas menawarkan wang untuknya dengan tiada sebarang percubaan perlu dijalani Miquel. Miquel menyertai Arsenal pada hari jadinya yang ke-16.

Miquel membuat debutnya bersama skuad utama Arsenal pada musim 2010/2011 pada perlawanan Piala FA menentang Leyton Orient pada 20 Februari 2011. Sepanjang musim tersebut Miquel hanya beraksi dalam 2 perlawanan kesemuanya di saingan Piala FA. Miquel turut merupakan sebahagian daripada pemain yang berada di bangku simpanan pada 2 perlawanan Piala Carling Arsenal pada musim tersebut.

Musim 2011/2012 merupakan musim Miquel mula mengorak langkahnya. Membuat debutnya di EPL pada 20 Ogos 2011 pada perlawanan menentang Liverpool selepas masuk mengantikan Laurent Koscielny yang mengalami kecederaan. Miquel turut membuat  debutnya di saingan Champions League apabila masuk mengantikan Andre Santos pada perlawanan menentang Olympiakos pada 6 Disember 2011.

Miquel telah bermain setiap minit perlawanan Arsenal yang mara ke suku akhir Piala Carling. Sepanjang musim 2011/2012 Miquel telah beraksi dalam 4 perlawanan EPL dengan 3 darinya Miquel masuk sebagai pemain gantian. 1 aksi di saingan Eropah serta 1 perlawanan di Piala FA dan 3 perlawanan Piala Carling. Dengan beberapa perlawanan yang disertainya, Miquel bermain di posisi bek kiri.

Sesi pra musim Arsenal untuk musim 2012/2013 telah menyaksikan Miquel merupakan sebahagian daripada skuad Arsenal yang menjulang Piala Markus Liebherr dengan Miquel beraksi semasa kemenangan 1-0 ke atas Anderlecht. Miquel turut mengikuti jelajah Asia Arsenal dengan Miquel menghabiskan kebanyakan masanya beraksi di posisi bek kiri. Miquel juga merupakan pemain yang bertanggungjawab dalam gol kemenangan Arsenal ke atas Malaysia XI.

Musim 2012/2013 telah menyaksikan Miquel menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal pada perlawanan pertamanya untuk musim ini. Miquel yang beraksi pada perlawanan Piala Capital One menentang Coventry City pada 26 September 2012, menjaringkan gol kelima Arsenal dalam kemenangan 6-1 Arsenal selepas menanduk masuk hantaran lintang Adrey Arshavin dengan Miquel meraikan gol tersebut dengan mencium lambang Arsenal.

Ignasi Miquel pernah beraksi untuk skuad U-16 Sepanyol serta U-19. Dengan Miquel memainkan peranan penting dalam kejayaan Sepanyol U-19 memenangi UEFA U-19 Championship pada musim panas 2011 selepas bermain dalam setiap perlawanan dalam kejohanan tersebut. Miquel kini merupakan sebahagian daripada pasukan U-20 Sepanyol.

Ignasi Miquel telah menunjukkan potensinya untuk menjadi pemain seterusnya yang berjaya mengukuhkan kedudukannya bersama-sama skuad utama. Hakikat Wenger tidak pernah membenarkan Miquel keluar secara pinjaman semakin mengukuhkan hakikat ini dan Wenger pernah memberitahu Miquel mempunyai segala potensi untuk berjaya di EPL serta Champions League.

Dengan Arsenal mempunyai rekod yang cemerlang dalam mengembangkan bakat bekas pemain akademi Barcelona sebagai pemain bertaraf dunia ataupun sebagai pemain yang cukup berpotensi besar, Miquel mungkin akan menjadi pemain seterusnya dalam senarai tersebut. Walaupun mempunyai cabaran getir, Miquel telah menunjukkan potensinya untuk mengancam barisan pemain pertahanan skuad utama Arsenal.

Dengan Sebastien Squillaci kini telah berada di belakang Miquel dalam pilihan Wenger dan hakikat kebolehan Miquel untuk beraksi di posisi bek kiri semakin membantu Miquel untuk terus berjaya bersama skuad utama. Dan pada suatu hari nanti jangan terkejut jika Barcelona datang dan mula berkata Miquel mempunyai 'DNA' Barcelona dalam dirinya.

'My first impressions of him were his great enthusiasm. When he was out on the pitch his enthusiasm shone through. He was genuine, he made his mistakes, tried to rectify them and worked hard at his game.' -Neil Banfield-

0 comments:

Post a Comment