On The Spot : Tony Adams
Minggu keempat seperti yang dijanjikan akan menyaksikan salah seorang pemain lagenda diperkenalkan. Tiada yang lebih bagus untuk memulakan pemain ini sebagai pemain pertama untuk slot One The Spot kategori lagenda Arsenal. Dikenali sebagai Mr. Arsenal dan juga merupakan pemegang rekod sebagai pemain termuda diberikan lilitan lengan kapten Arsenal.Tony Alexander Adams yang dilahirkan pada 10 Oktober 1966 di Romford, England memulakan kariernya di akademi Arsenal. Hanya selepas 3 tahun Tony Adams telah diberikan debutnya 4 minggu selepas hari jadinya yang ke-17 pada 5 November 1983 oleh Terry Neil yang ketika itu mengendalikan Arsenal. Adams hanya mula menjadi tonggak penting Arsenal pada musim 1985/1986 dibawah kendalian Don Howe.
Di bawah kendalian George Graham, Adams telah memenangi trofi pertamanya bersama-sama Arsenal selepas menundukkan Liverpool pada perlawanan akhir League Cup pada tahun 1987. Adams merupakan sebahagian besar 'famous four' di bawah George Graham apabila bersama-sama Lee Dixon, Nigel Winterburn dan Steve Bould membentuk gandingan disiplin yang mantap di barisan pertahanan.
Tony Adams telah dinamakan sebagai kapten termuda Arsenal pada usia 21 tahun 84 hari apabila diumumkan sebagai kapten Arsenal pada 1 Januari 1988 rekod yang masih kekal sehingga ke hari ini. Adams telah mengetuai Arsenal selama 14 tahun dan telah menjulang 9 trofi kejuaraan (tidak termasuk Piala Komuniti) sebagai kapten pasukan termasuk 3 trofi kejuaraan liga di dalam 3 dekad berbeza dan juga satu-satunya trofi Eropah Arsenal.
Adams telah beraksi sebanyak 669 kali untuk Arsenal dan menjaringkan 48 gol dalam karier 19 tahunnya di Arsenal. Adams juga merupakan segelintir pemain yang hanya kekal bersama hanya satu kelab sepanjang karier. Tony Adams boleh dikatakan bertuah apabila diuruskan oleh 2 pengendali paling berjaya Arsenal iaitu George Graham dan juga Arsene Wenger.
Adams yang cukup berjaya dan cukup dihormati mempunyai masalah ketagihan alkohol dan setelah kes demi kes, Adams akhirnya mengakui masalahnya ini pada 14 September 1996 secara terbuka dengan Arsene Wenger memulakan regim pemakanan ketat di Arsenal. Disebalik pengakuan terbuka kapten pasukannya ini, Wenger kekal dengan Tony Adams dan ianya telah menyaksikan Adams mengetuai kejayaan Arsenal memenangi EPL pada 1997/1998 sebelum kemudiannya memenangi double pada musim terakhirnya bersama Arsenal pada 2001/2002.
Tony Adams yang telah berjaya mengatasi masalah tersebut sebelum kemudiannya mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada pentas bola sepak pada Ogos 2002 hanya sebelum sepak mula musim 2002/2003 bermula. Perlawanan testimoni untuk Tony Adams menentang Celtic telah dijalankan pada Mei 2002 yang melibatkan pemain lagenda Arsenal.
Tony Adams telah menamatkan 19 musimnya di Arsenal dengan 688 perlawanan dengan hanya David O' Leary mengatasi Adams sebagai pemain paling banyak membuat kemunculan bersama-sama Arsenal. Adams turut telah memenangi 10 kejuaraan bersama-sama Arsenal dengan 3 Piala Komuniti melengkapkan lagi karier cemerlang Mr. Arsenal ini.
Adams juga pernah dinobatkan sebagai PFA Young Player Of The Year pada tahun 1987 sebelum kemudiannya 3 kali dinobatkan sebagai PFA Player Of The Year pada 1994, 1996 dan 1997. Adams yang turut menerima anugerah MBE, telah dinamakan sebagai kesebelasan terbaik EPL dalam
tempoh sedekad dalam anugerah Premier League 10 Seasons Awards.
Pemain yang berada di tempat ketiga dibelakang Thierry Henry dan Dennis Bergkamp sebagai 50 pemain terbaik Arsenal sepanjang zaman telah menyaksikan Arsenal menghargai kapten pasukan paling berjaya mereka ini apabila membina sebuah tugu Tony Adams sempena meraikan 125 tahun penubuhan Arsenal.
Tony Adams memulakan karier antarabangsanya pada 1985 bersama skuad U-21 England sebelum kemudiannya menyertai skuad England B pada 1986. Adams membuat debutnya bersama England pada perlawanan menentang Sepanyol pada 1987 dan bermain di EURO 1988. Selepas secara kontroversinya terlepas Piala Dunia 1990 dan mengalami kecederaan semasa EURO 1992, Adams secara tidak langsung menjadi kapten pasukan England bersama-sama David Platt selepas persaraan Gary Lineker.
Dibawah Glenn Hoddle, Adams dilepaskan daripada tugasan kaptennya walaupun berjaya mengetuai England ke separuh akhir EURO 1996 kepada Alan Shearer. Selepas persaraan Shearer, Adams kembali mendapatkan lilitan lengan kapten tersebut. Selepas Sven-Goran Eriksson menjadi pengurus England, Adams mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa. Menamatkan kariernya dengan beraksi 66 perlawanan dan menjaringkan 5 gol termasuk gol terakhir pemain England di stadium lama Wembley.
Di luar padang selepas Adams pulih daripada masalah alkoholnya, beliau telah menubuhkan Sporting Chance Clinic pada September 2000 yang membantu masalah ketagihan alkohol, dadah mahupun berjudi. Salah seorang bekas pesakit yang dirawat di Sporting Chance Clinic termasuklah penyerang prolifik Arsenal Ladies, Kelly Smith yang mempunyai masalah ketagihan alkohol selepas bergelut dengan masalah kecederaan.
Selepas menamatkan kariernya, Adams meneruskan kariernya sebagai pengurus. Tugasan pertama Adams adalah sebagai pengurus Wycombe Wanderers. Selepas setahun, Adams meletakkan jawatannya kerana masalah peribadi. Adams kemudiannya berkelana ke Belanda di mana beliau mengambil tugas jurulatih di Feyenoord dan juga Utrecht. Sepanjang tempohnya di Feyenoord, Adams turut menjadi pencari bakat Arsenal dengan menyaksikan perlawanan di Itali, Perancis dan juga Belanda.
Adams kemudiannya kembali ke EPL pada Julai 2006 sebagai pembantu pengurus Harry Redknapp di Portsmouth. Pada Oktober 2008, Adams telah dilantik sebagai pengurus sementara Portsmouth selepas pemergian Redknapp dan kemudiannya menyaksikan beliau dilantik sebagai pengurus Portsmouth. Sebelum dipecat pada Februari 2009, Adams telah membawa Portsmouth menentang Arsenal di Emirates Stadium yang berkesudahan Arsenal menang 1-0.
Pada Mei 2010 Adams kemudiannya menerima tawaran 3 tahun untuk membimbing kelab Azerbaijan, Gabala FC sebelum meletak jawatan pada November 2011 atas dasar keluarga. Selepas setahun, Adams kembali ke Azerbaijan untuk mengambil alih kembali Gabala FC.
George Graham pernah menganggap Tony Adams sebagai 'my colossus' (iaitu watak superhero) sementara Arsene Wenger memanggil Adams sebagai 'professor of defence'. Panggillah apa-apa pun tentang Tony Adams. Kerana apabila orang memanggil Mr. Arsenal, Gooners terus akan terfikirkan Tony Adams dan apabila menyebut tentang kapten terhebat Arsenal, peminat akan tetap menyebut nama Tony Adams.
0 comments:
Post a Comment