12 November 2012

On The Spot : Kim Little

Minggu kedua seperti yang dijanjikan akan menyaksikan salah seorang daripada pemain Arsenal Ladies. Pemain yang dipilih adalah pemain yang telah diumumkan oleh pengurus pasukan Arsenal Ladies, Laura Harvey sebagai 'world class' sementara Vic Akers sejak bertahun-tahun dulu telah memberitahu untuk memerhatikan pemain muda bernama Kim Little ini.

Kim Alison Little dilahirkan pada 29 Jun 1990 di Aberdeen, Scotland telah menyertai Arsenal Ladies pada Disember 2007 daripada kelab Scotland, Hibernian Ladies selepas memulakan kariernya di Buchan Girls FC. Hanya berusia 17 tahun, Little telah menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal dihadapan 5000 peminat di Emirates Stadium semasa kemenangan 4-1 Arsenal Ladies ke atas Chelsea Ladies pada 24 April 2007 seterusnya menjadi sebahagian daripada pasukan yang mempertahankan kejuaraan liga.

Ianya telah menyaksikan pengurus Arsenal Ladies, Vic Akers membuat pengumuman di hadapan media supaya memerhatikan kelibat pemain yang menyarung jersi nombor 16 ini kerana Akers memberitahu Little akan menjadi pemain terbaik nanti. Dan apa yang dikatakan Akers 5 tahun dahulu kini telah menjadi kenyataan.

Musim penuh pertama Little pada musim 2008/2009 di Arsenal Ladies telah menyaksikan sejumlah 23 gol disumbat oleh pemain yang bermain di posisi tengah ini daripada 32 perlawanan dan 3 kali sebagai pemain gantian dalam semua kejohanan. Menjaringkan hat-trick pertamanya dalam perlawanan Champions League menentang FC Zurich Frauen. Little menamatkan musim tersebut dengan gelaran treble bersama pasukan Arsenal Ladies.

Musim 2009/2010 telah menyaksikan tiada penyerang dibawa masuk Vic Akers serta Tony Gervaise untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kelly Smith selepas kegagalan Akers memujuk Suzanne Grant kekal bersama pasukan. Kecederaan berulang yang di alami Julie Fleeting semakin memburukkan keadaan namun Little telah menunjukkan kemampuannya menjaringkan gol walaupun beraksi sebagai pemain tengah.

Little telah menyumbat 47 gol daripada hanya 36 perlawanan sepanjang musim 2009/2010. Satu rekod yang cukup mengkagumkan bagi pemain yang baru sahaja berusia 20 tahun. Little turut telah menyelamatkan musim Arsenal Ladies apabila memastikan Ladies mempertahankan kejuaraan liga selepas kecundang di final Piala FA seterusnya memastikan kejuaraan Women's Premier League terakhir mereka memandangkan pengenalan liga teratas bola sepak wanita baru mula diperkenalkan sebaik musim tersebut tamat.

Musim 2010/2011 telah menyaksikan tugas Kim Little untuk menjaringkan gol telah dilepaskan selepas Arsenal Ladies membawa masuk bekas penyerang akademi mereka, Ellen White. Namun Little masih mampu menjaringkan 12 gol daripada 23 perlawanan termasuk persembahan bertaraf dunia yang telah dipamerkannya semasa kemenangan Piala FA Arsenal Ladies ke atas Bristol Academy yang telah menyaksikan pengurus pasukan, Laura Harvey memberikan pujian melambung terhadapnya.

Gol tunggal yang dijaringkannya semasa menentang Everton Ladies pada perlawanan kedua terakhir musim telah menyaksikan Arsenal Ladies mendahului liga FA WSL buat pertama kalinya dengan kelebihan 1 mata berbanding Birmingham City dan gol tersebut telah menyaksikan Vic Akers memberitahu beliau akan mempunyai tugas yang sukar untuk mengekalkan khidmat Kim Little di dalam pasukan bimbingan Laura Harvey kerana menyedari pasukan luar negara akan mula memerhatikan pemain bintang Arsenal Ladies itu.

Selepas memastikan treble pertama Laura Harvey di musim penuh pertamanya mengendalikan pasukan, Kim Little sekali lagi telah diiktiraf sebagai pemain terbaik Arsenal Ladies serta penjaring terbanyak pasukan dan hanya berada di tempat kedua dibelakang Rachel Williams daripada anugerah pemain terbaik dan juga penjaring terbanyak FA WSL.

Musim 2011/2012 telah menyaksikan Little meledak 20 gol daripada 27 perlawanan walaupun beliau menganggap ianya bukanlah musim terbaiknya walaupun merupakan penjaring terbanyak FA WSL serta sekali lagi menyinari FA WSL dengan skill-skillnya. Namun apa yang dikatakan Little adalah benar. Beliau mempunyai musim yang cukup pasang surut. Kemuncak musimnya sepanjang musim 2011/2012 adalah gol cantiknya pada final Piala Continental yang telah memastikan Arsenal Ladies meraih double.

Sementara kegagalannya untuk menjaringkan beberapa sepakan penalti dan malahan mensia-siakan beberapa peluang keemasan membuktikan Little tidak mempunyai musim yang cukup baik. Ianya mungkin akibat faktor Jordan Nobbs di dalam pasukan yang dilihat mula berkongsi tanggungjawab dengan Kim Little dalam mendominasi bahagian tengah serta menjaringkan gol demi gol.

Kim Little telah dipanggil menyertai skuad kebangsaan Scotland sejak Februari 2007 lagi sebelum menjaringkan gol pertamanya pada April 2008. Little telah memperoleh cap ke-50nya pada perlawanan menentang England pada Mac 2011. Setakat ini Little telah menjaringkan 25 gol bersama skuad senior Scotland berserta 73 cap.

Kim Little turut menjadi sebahagian daripada skuad Great Britain di Olimpik London. Mencipta 2 peluang dalam kemenangan 3-0 Great Britain ke atas Cameroon dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan sebelum mendominasi bahagian tengah semasa kemenangan Great Britain ke atas Brazil. Little yang hanya menjaringkan 1 gol bersama skuad Great Britain (dalam perlawanan persahabatan bukan rasmi menentang Afrika Selatan) telah dikritik kerana ketidak mahuannya menyanyikan lagu kebangsaan Great Britain (lagu yang selalu dinyanyikan pasukan England) sepanjang temasya Olimpik.

Little telah mempertahankan dirinya apabila memberitahu yang beliau membuat keputusan untuk tidak menyanyikan lagu kebangsaan tersebut kerana beliau seorang Scottish. Keputusan Kim Little telah disokong hebat oleh jurulatih Great Britain, Hope Powell. Kim Little telah mengukuhkan namanya di England serta Scotland dengan persembahan bertaraf dunianya. Walaupun tidak menjaringkan gol, kelibat Little di tengah padang mampu membuat ramai kagum dengan kemampuannya.

Dikenali kerana sukar untuk ditewaskan dan mempunyai sentuhan pemusnah yang cukup digeruni, Little turut selesa membuka ruang untuk rakan sepasukannya melalui hantaran-hantaran cantiknya. Mampu untuk menewaskan sehingga 3-4 pemain lawan menerusi skillnya, Little cukup dikenali di kalangan pemain pertahanan di England sebagai pemain yang mampu menjaringkan gol walaupun hanya diberikan ruang yang cukup sedikit.

Sampai bilakah Arsenal Ladies mampu mempertahankan pemain bintang mereka ini akan terus menjadi satu persoalan. Pasukan professional di luar sana pastinya akan terus memerhatikan perkembangan pemain berusia 22 tahun ini dengan cukup minat. Namun apa yang pasti Arsenal Ladies lebih senang untuk mengekalkan pemain bintang mereka ini yang hanya menunggu masa untuk menjadi salah seorang pemain di kalangan top 5 pemain wanita terbaik dunia.

'Her goal sums her up. Kim is talented, she is world class. Some of the football she can play is frightening. I think that is summed up by the way she took her goal. She is a magnificent player.' -Laura Harvey-

0 comments:

Post a Comment