04 November 2012

On The Spot : Thomas Vermaelen

Ini merupakan artikel pertama untuk slot baru, On The Spot. Seperti yang dijanjikan minggu pertama akan menyaksikan salah seorang daripada pemain pasukan utama dipilih. Ini telah menyaksikan kapten pasukan Arsenal, Thomas Vermaelen telah menjadi pilihan. Vermaelen seperti beberapa pemain Arsenal yang lain mempunyai 'nickname' iaitu Verminator.
Thomas Vermaelen menyertai Arsenal pada bulan Jun 2009 daripada Ajax Amsterdam dengan yuran perpindahan yang boleh meningkat sehingga 12 juta euro. Arsenal baru sahaja melepaskan Kolo Toure ke Manchester City dengan Vermaelen dibawa masuk sebagai pengganti Toure dan terus diberikan jersi nombor 5 pasukan.

Bekas kapten pasukan Ajax ini telah mula menarik perhatian Arsene Wenger semasa mewakili Ajax menentang Arsenal dalam satu perlawanan pra-musim dan Wenger yang kagum dengan corak permainannya tidak pernah melupakan namanya. Vermaelen kemudiannya terus menampilkan corak permainan yang cemerlang dalam perlawanan Champions League menentang Arsenal.

Kehadiran pemain yang lahir di Kapellen, Belgium pada 14 November 1985 ini telah memberikan ruang kepada William Gallas untuk beraksi di posisi kegemarannya iaitu posisi sebelah kanan di bahagian tengah barisan pertahanan memandangkan Vermaelen merupakan pemain berkaki kiri. Mungkin ada daripada anda yang mungkin tidak mengetahui kisah sebenar sebelum perpindahan Vermaelen ke Arsenal.

Scout Arsenal yang diarah untuk memerhatikan Vermaelen yang bergelut beraksi di posisi bek kiri Ajax sebelum perpindahannya ke Emirates telah memberikan penilaian yang kurang menyakinkan terhadap pemain yang memulakan kariernya di Germinal Ekeren ataupun lebih dikenali sebagai Germinal Beerschot. Namun Wenger berkeras untuk membawa pemain yang telah lama dikaguminya kerana kelibatnya merantai Robin Van Persie dan Thierry Henry.

Arsenal akhirnya mengesahkan perpindahan Thomas Vermaelen pada 19 Jun 2009 selepas sekian lama berita ini digembar-gemburkan. Seterusnya menyaksikan William Gallas mempunyai gandingan pertahanan yang baru selepas semusim tidak bertegur sapa dengan bekas rakan gandingannya, Kolo Toure. Namun tiada siapa yang menyangka impak yang dilakukan Vermaelen begitu pantas dirasai.

Vermaelen telah menjaringkan gol pertamanya pada penampilan pertamanya bersama Arsenal semasa kemenangan 6-1 Arsenal ke atas Everton di Goodison Park. Gol pertamanya di Emirates hanya hadir sebulan selepas itu dengan Vermaelen telah menyumbat 2 gol semasa kemenangan 4-0 Arsenal ke atas Wigan Athletic. Hanya 3 hari sebelum itu Vermaelen menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal di saingan Champions League semasa kemenangan 3-2 ke atas Standart Liege.

Musim pertama Vermaelen memang cukup mengkagumkan menjaringkan 7 gol dalam saingan EPL dalam 33 perlawanan telah menyaksikan Vermaelen muncul sebagai penjaring terbanyak EPL di posisi barisan pertahanan dan seterusnya memastikan tempatnya di dalam PFA Team Of The Year. 1 gol daripada 11 perlawanan Champions League telah menyaksikan Vermaelen menamatkan musim dengan 8 gol daripada 45 perlawanan di semua kejohanan.

Vermaelen yang telah membentuk gandingan mantap bersama-sama William Gallas sepanjang musim pertamanya telah dinamakan di tempat kedua Pemain Terbaik Tahunan Arsenal dibelakang Cesc Fabregas. Vermaelen turut memenangi anugerah Pemain Terbaik Bulanan Arsenal untuk 2 bulan pertamanya di Arsenal.

Di musim keduanya, Vermaelen yang dijangka akan membina gandingan mantap dengan pembelian baru, Laurent Koscielny telah dibayangi dengan masalah kecederaan achilles yang dialaminya semasa menjalani tugasan antarabangsa dengan Belgium yang telah mengundang kemarahan Arsene Wenger kerana keputusan Belgium menurunkan Vermaelen dalam aksi penuh 90 minit perlawanan walaupun beliau telah mengadu kesakitan. Selepas berharap kecederaan tersebut pulih tanpa memerlukan sebarang pembedahan, Vermaelen akhirnya tewas dan terpaksa melakukan pembedahan di achillesnya.

Vermaelen telah diketepikan daripada skuad daripada September sehinggalah pada perlawanan menentang Stoke City pada 8 Mei 2011 apabila Vermaelen telah memanaskan bangku simpanan sebelum membuat kemunculan semulanya bersama skuad utama pada 2 perlawanan terakhir musim Arsenal. Vermaelen telah menamatkan musim 2010/2011 dengan hanya beraksi 5 perlawanan dan tidak menjaringkan sebarang gol.

Musim ketiganya telah bermula dengan Vermaelen telah dinamakan sebagai penolong kapten pasukan. Arsenal yang bergelut pada awal musim 2011/2012 kemudiannya kehilangan khidmat Vermaelen akibat satu lagi kecederaan Achilles yang mengetepikan penolong kapten pasukan ini daripada penghujung bulan Ogos sehingga penghujung bulan Oktober.

Vermaelen membuat kemunculan semulanya dalam perlawanan Piala Carling hanya seminggu selepas menandatangani kontrak baru bersama pasukan. Vermaelen menjaringkan gol pertamanya untuk pasukan pada musim 2011/2012 pada perlawanan menentang West Brom. Vermaelen turut menjaringkan gol sendiri pertamanya semasa menentang Fulham sebelum kemudiannya menjaringkan gol penyamaan untuk Arsenal.

Vermaelen telah diletakkan di posisi bek kiri sepanjang masalah kecederaan yang menganggu kem Arsenal. Vermaelen secara terus terang memberitahu yang beliau cukup kecewa dengan prestasinya di posisi tersebut sebelum kemudiannya kembali diletakkan di posisi pertahanan tengah Arsenal untuk bergandingan dengan Laurent Koscielny yang mempunyai musim yang cemerlang.

Vermaelen telah menamatkan musim 2011/2012 dengan 6 gol daripada 29 perlawanan EPL. Vermaelen turut beraksi 7 kali di saingan Champions League, 2 kali di Piala FA dan dua kali di saingan Piala Carling. Ini juga menyaksikan Vermaelen sekali lagi menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak di posisi pertahanan.

Thomas Vermaelen yang pernah menyatakan impiannya untuk menjadi kapten Arsenal semasa menyertai Arsenal, telah menyaksikan impiannya menjadi kenyataan selepas dinamakan sebagai kapten baru Arsenal sebelum musim 2012/2013 bermula berikutan perpindahan Robin Van Persie. 'It makes me really happy and proud to be Arsenal captain - it's a real honour.' Itulah kenyataan Vermaelen selepas dinamakan sebagai kapten pasukan baru Arsenal.

Thomas Vermaelen menerima panggilan pertamanya bersama skuad senior Belgium pada Mac 2006 selepas menjadi sebahagian daripada pasukan Belgium U-19 yang ke kejohanan Eropah U-19 pada tahun 2004 dan juga 2007. Pada 8 Oktober 2009 Vermaelen telah dinamakan sebagai kapten pasukan Belgium sebelum jawatannya ditarik balik apabila Vermaelen bergelut dengan masalah kecederaan pada musim 2010/2011.

Vermaelen menjaringkan gol pertama antarabangsanya pada hari lahir ke-24nya pada perlawanan persahabatan menentang  Hungary dan ianya juga merupakan gol tunggal Vermaelen untuk skuad kebangsaan Belgium.

Teman wanita Vermaelen adalah Aimee Van Ommen yang pernah bekerjasama bersama-sama isteri Van Persie, Bouchra dan juga bekas teman wanita Fabregas, Carla untuk menganjurkan parti amal pada Disember 2010 untuk SOS Children's Village. Badan kebajikan yang ada kena mengena dengan Arsenal FC. Satu lagi fakta mengenai perpindahan Vermaelen adalah Wenger telah menghubunginya tentang kemungkinan perpindahan ke Arsenal semasa beliau sedang bercuti bersama-sama Aimee di Mauritius.

Thomas Vermaelen merupakan pemain yang mampu memberikan kegusaran di kalangan pemain pertahanan pasukan lawan terutama di set pieces. Mampu untuk melonjak tinggi dan menanduk deras bola daripada situasi bola mati, rekod gol yang dijaringkan Vermaelen menceritakan segala-galanya. Selain mempunyai terjahan yang keras, Vermaelen mempunyai kaki kiri yang mampu untuk menendang bola dengan cukup padu daripada luar kotak penalti.

Wojciech Szczesny telah menganggap apabila Vermaelen mula merembat melalui kaki kirinya agak sukar untuknya menyelamatkan bola tersebut. Vermaelen walaupun merupakan seorang pemain pertahanan, cukup senang untuk membantu barisan serangan dari masa ke semasa menerusi lariannya daripada barisan pertahanannya ke barisan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan padu menerusi kaki kirinya.

'He is a competitor, he is a fighter. I liked his intelligence. The reading of his game and the quality. Thomas is quiet, wants always to do well, he’s a hard worker as well as being mentally strong. He is a leader as well and he is a left-footed player, you do not find many of them. He has a nose in the box to find a goal where it is needed and I must say he is a good finisher.' -Arsene Wenger-

0 comments:

Post a Comment