03 November 2012

October 2012 Review

Selepas Arsenal mencatatkan kekalahan pertama mereka pada penghujung bulan September, ramai yang tertanya-tanya adakah Arsenal mampu untuk bangkit kembali. Namun Arsenal mempunyai bulan yang agak pasang surut dan rehat minggu antarabangsa yang berlaku pada bulan Oktober langsung tidak menjadikannya lebih mudah.

Arsenal memulakan bulan Oktober dengan kejayaan membenam Olympiakos 3-1 di Emirates Stadium sebelum kemudiannya menundukkan West Ham 3-1 di Upton Park di mana Giroud menjaringkan gol pertamanya di saingan EPL. Segala-galanya nampak berjalan lancar untuk Arsenal sehinggalah rehat minggu antarabangsa. Kecederaan yang dialami Theo Walcott merisaukan kem Arsenal sementara Laurent Koscielny turut mengalami kecederaan semasa mewakili pasukan kebangsaan Perancis.

Perlawanan pertama selepas rehat minggu antarabangsa ialah menentang Norwich City di Emirates Stadium. Perlawanan ini nampak mudah untuk Arsenal memandangkan Norwich bergelut mencari prestasi mereka musim ini. Tetapi sebaliknya Norwich yang pulang dengan 3 mata penuh. Kunjungan Schalke selepas itu turut berakhir dengan keputusan yang sama.

Arsenal kemudiannya menerima kunjungan QPR yang yakin mampu menundukkan Arsenal selepas Arsenal bergelut dalam 2 perlawanan sebelumnya. Arsene Wenger membuat keputusan untuk merombak sedikit skuadnya dengan menurunkan Jack Wilshere yang kembali daripada kecederaan selepas setahun lebih diketepikan. Ianya berakhir dengan Arsenal mencatatkan kemenangan 1-0. Disebalik keputusan tersebut, Arsenal sebenarnya mampu untuk mencatatkan keputusan kemenangan yang lebih besar jika bukan atas disebabkan Julio Cesar.

Selepas 2 perlawanan Champions League yang disudahi dengan 1 kemenangan dan 1 kekalahan serta 2 menang dan 1 kalah di saingan EPL, Arsenal menamatkan bulan Oktober dengan perlawanan Piala Capital One yang serba gila. Mungkin ianya cara terbaik untuk menamatkan bulan Oktober dengan penuh bergaya.

Arsenal mara ke suku akhir Piala Capital One selepas mencatatkan kemenangan 7-5 pada masa tambahan di Stadium Madjeski selepas bangkit daripada ketinggalan 4-0. 3 gol dan 3 bantuan gol daripada Theo Walcott telah memastikan Arsenal bertemu Bradford City di suku akhir. Perlawanan ini turut menyaksikan Marouane Chamakh menjaringkan gol pertamanya di dalam jersi Arsenal sejak 17 September 2011.

Ini menyaksikan sepanjang bulan Oktober Arsenal telah mencatatkan 4 kemenangan dan 2 kekalahan dalam 6 perlawanan di semua kejohanan. Siapakah pemain terbaik bulan Oktober Arsenal? Atikah memilih Mikel Arteta. Cukup cemerlang dalam perlawanan menentang QPR walaupun beliau dibayangi kepulangan Wilshere, Arteta turut cemerlang semasa kekalahan Arsenal di tangan Norwich.

Arsenal U-21 mempunyai 4 perlawanan sepanjang bulan Oktober dan kempen mereka pada bulan Oktober dihiasi dengan kelibat Jack Wilshere di tengah padang dan juga Bacary Sagna di posisi bek kanan. 2 menang, 1 seri dan 1 kekalahan bukanlah keputusan yang teruk. Bagaimanapun mereka memulakan bulan Oktober dengan kekalahan 1-0 di tangan West Brom.

Pasukan yang dibimbing Terry Burton ini kemudiannya bangkit untuk mencatatkan kemenangan 2-0 dan 2-1 ke atas Reading dan Everton sebelum kemudiannya menamatkan bulan Oktober dengan keputusan seri 0-0 selepas terpaksa bermain tanpa sebahagian besar pemain utama mereka kerana pemain-pemain tersbeut dipanggil skuad utama untuk perlawanan Piala Capital One.

Atikah mempunyai sedikit masalah memilih pemain terbaik U-21 Arsenal. Tetapi pada akhirnya Atikah memilih Thomas Eisfeld dan percayalah Serge Gnarby telah memberikan tentangan yang cukup sengit. Persembahan cemerlang Eisfeld  bersama skuad U-21 Arsenal pada bulan Oktober telah menyaksikan Eisfeld diberikan debutnya di perlawanan Piala Capital One dan telah menjadi faktor penting kebangkitan luar biasa Arsenal di stadium Madjeski.

Arsenal U-19 yang beraksi di saingan NextGen Series langsung tidak mempunyai bulan Oktober yang baik. Arsenal U-19 mempunyai 2 perlawanan dengan hanya berjaya mencatatkan keputusan seri 0-0 menentang Olympiakos sebelum kemudiannya tewas 1-0 di tangan Marseille di dalam perlawanan yang sama, Dejan Iliev yang menyertai Arsenal pada hari terakhir perpindahan musim panas, membuat debutnya bersama skuad akademi Arsenal.

Skuad U-18 Arsenal turut mempunyai bulan Oktober yang mahu dilupakan. Selepas tewas 2 perlawanan di bulan Oktober, mereka hanya mampu menamatkan bulan Oktober dengan keputusan seri 0-0 dengan Blackburn. Ianya mungkin disebabkan ketiadaan kapten mereka, Jon Toral yang semakin mengukuhkan tempatnya di dalam skuad U-21 Arsenal menjadi sebabnya sebelum kembali menyertai pasukan semasa seri 0-0 dengan Blackburn.

Ianya berbeza pula dengan kisah Arsenal Ladies. 3 perlawanan penting dalam tempoh seminggu lebih telah memberikan tekanan. Tetapi para pemain memulakan bulan Oktober dengan penuh bergaya apabila membelasah Barcelona Ladies 4-0 di tempat sendiri untuk mara bergaya ke pusingan ke-32 Champions League dengan agregat 7-0.

Masih segar dengan kejayaan tersebut para pemain kemudiannya beraksi di perlawanan terakhir FA WSL mereka dengan keputusan seri 1-1 seterusnya menamatkan musim liga mereka dengan rekod tanpa tewas. Pemain kemudiannya menamatkan bulan Oktober dengan cukup bergaya sekali selepas mempertahankan kejuaraan Piala Continental mereka dengan kejayaan menundukan Birmingham 1-0 menerusi jaringan cantik Kim Little.

Pemain terbaik bulan Oktober Arsenal Ladies Atikah berikan kepada Kim Little yang sememangnya cemerlang pada perlawanan Piala Continental dan turut menyumbang salah satu gol semasa menentang Barcelona serta menjadi punca utama gol penyamaan Ellen White semasa misi pasukan mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di saingan liga selepas dibawa masuk untuk melaksanakan misi tersebut.

Bulan November tidak akan menjadi mudah kepada pasukan utama Arsenal kerana akan memulakan bulan November dengan perlawanan menentang Manchester United sebelum berlepas ke Jerman untuk perlawanan menentang Schalke 04. Perlawanan derby menentang Tottenham Hotspurs turut akan berlangsung pada bulan November.

Skuad U-21, U-19 dan U-18 pastinya mahu kembali bangkit selepas melalui bulan Oktober yang tidak begitu memuaskan sementara skuad Arsenal Ladies pastinya mahu meneruskan kecermelangan mereka dengan menempah tiket ke suku akhir Champions League selepas akan melalui 2 perlawanan Champions League menentang juara Jerman dan finalis tahun 2010, 1. FFC Turbine Potsdam. 2 perlawanan itu juga akan menjadi perlawanan terakhir skuad Ladies di tahun 2012. Adios and good luck Arsenal!

0 comments:

Post a Comment