31 October 2012

Reading 5-7 Arsenal

Arsenal mara ke suku akhir Piala Capital One selepas menundukkan Reading 7-5. Bukan menerusi penentuan penalti tetapi pada masa tambahan. Perlawanan ini sebenarnya lebih gila daripada 12 gol yang dijaringkan pada perlawanan yang memakan masa 120 minit ini. Tiada siapa yang akan mengatakan Arsenal akan mara ke suku akhir selepas ketinggalan 4-0 seawal minit ke-37.

MARTINEZ
JENKINSON-----DJOUROU-----KOSCIELNY-----MIQUEL
COQUELIN-----FRIMPONG
WALCOTT-----ARSHAVIN-----GNARBY
CHAMAKH

Damien Martinez telah mengekalkan tempatnya di barisan kesebelasan utama untuk perlawanan Piala Capital One dan disebalik 5 gol yang dilepaskannya, Martinez telah beraksi dengan cukup baik sekali dan telah membuat beberapa aksi menyelamat yang memastikan Arsenal terus bernyawa terutama sekali di masa tambahan.

Tiada siapa juga yang dapat memamahi bagaimana gandingan pertahanan tengah yang diketuai Johan Djourou dan Laurent Koscielny sambil dibantu on form Carl Jenkinson dan Ignasi Miquel begitu rapuh pada perlawanan ini. Gandingan Djourou dan Koscielny cukup dikenali kerana menjadi sebab kepada kemenangan bersejarah 2-1 Arsenal ke atas Barcelona dua musim lalu. Namun gandingan ini cukup goyah.

Koscielny jauh daripada menyakinkan dan selepas mempunyai musim yang cukup cemerlang musim lepas, prestasi Koscielny sememangnya mengejutkan. Djourou kurang daripada menyakinkan dan beberapa kali telah meletakkan tekanan yang tidak sepatutnya kepada Martinez serta mudahnya Reading melepasinya.

Sementara Jenkinson mahu terus membuktikan kemampuannya dan mencabar Bacary Sagna apabila sekali lagi menampilkan persembahan yang baik. Miquel yang kembali diletakkan di bek kiri mungkin perlu terus diletakkan di posisi bek tengah. Kerana persembahannya di posisi bek kiri tidaklah begitu menyakinkan walaupun cukup bagus dalam membantu bahagian serangan.

Gandingan Francis Coquelin dan Emmanuel Frimpong jelas tidak begitu berhasil terutama sekali dalam melindungi barisan pertahanan Arsenal. Sementara Theo Walcott cukup bertenaga dalam perlawanan ini dalam mengucar-kacirkan barisan pertahanan Reading sementara Arshavin sekali lagi memainkan peranan yang cukup penting. Serge Gnarby yang diberikan permulaan kesebelasan utama buat pertama kalinya juga tidak begitu mengecewakan.

Marouane Chamakh yang mengetuai barisan serangan Arsenal buat pertama kalinya sejak sekian lamanya hanya menjadi dirinya sendiri sebelum menunjukkan bisa sebenarnya di masa tambahan. Persembahannya di masa sebenar perlawanan tidaklah begitu mengujakan tetapi menunjukkan aksi sebaliknya di masa tambahan apabila menunjukkan ketajamannya di hadapan pintu gol serta persembahan yang cukup bertenaga.

Arsenal langsung tidak bermula dengan baik selepas ketinggalan 4-0 seawal minit ke-37. Ianya perkara yang serupa berlaku kepada Arsenal 2 musim lalu apabila mendahului 4-0 sebelum Newcastle bangkit untuk seri 4-4. Adakah perkara yang sama akan berlaku? Hantaran cantik Andrey Arshavin telah menemui Theo Walcott yang mengunakan kepantasannya untuk mengatasi pemain pertahanan sebelum melambungkan bola melepas penjaga gol Reading untuk memastikan Arsenal masih mempunyai peluang untuk bangkit sebelum separuh masa pertama tamat.

Masih ketinggalan 4-1 selepas melepasi 60 minit perlawanan, Arsene Wenger membawa masuk Olivier Giroud serta Thomas Eisfeld yang membuat debutnya mengantikan Serge Gnarby dan Emmanuel Frimpong. Giroud hanya memerlukan 2 minit untuk menjaringkan gol kedua Arsenal selepas menanduk cantik sepakan penjuru yang diambil Theo Walcott.

Masa semakin tidak memihak kepada Arsenal dan masih ketinggalan 4-2 dengan 1 minit sebelum masa sebenar tamat, Reading dilihat akan mara ke suku akhir sebelum Laurent Koscielny menanduk masuk sepakan penjuru Walcott seterusnya menyaksikan gol sendiri yang dijaringkannya sedikit sebanyak akan dilupakan.

Pengadil seakan-akan memberikan peluang terakhir kepada Arsenal selepas tidak meniupkan wiselnya walaupun 5 minit masa kecederaan telah pun tamat. Mungkin Reading perlu memarahi diri mereka sendiri kerana cuba untuk melengah-lengahkan perlawanan termasuk keenganan peminat untuk mencampakkan bola semasa Arsenal menerima lontaran ke dalam atas gol penyamaan yang dijaringkan Carl Jenkinson.

Walaupun Theo Walcott dilihat merupakan penjaring sebenar gol penyamaan Arsenal, pengadil telah memberitahu ianya diberikan kepada Jenkinson kerana menurut mereka bola tidak melepasi garisan gol apabila Walcott merembat bola melepasi Adam Federici sebelum dikeluarkan oleh pemain Reading di mana Jenkinson kemudiannya merembat masuk bola tersebut untuk memberikan kepastian namun pada akhirnya Jenkinson dinamakan sebagai penjaring gol penyamaan itu seterusnya menyaksikan gol pertamanya di dalam jersi Arsenal.

Tamat 90 minit perlawanan Arsenal mengikat Reading 4-4 dan ini telah menyaksikan Olivier Giroud dan Francis Coquelin meraikan kejayaan tersebut dengan mencampak jersi kepada peminat namun mereka kemudiannya terpaksa memintanya kembali memandangkan tiadanya perlawanan ulangan di Stadium Emirates kerana keputusan perlawanan perlu ditentukan pada perlawanan ini juga.

3 minit di masa tambahan, Marouane Chamakh merembat daripada luar kotak penalti untuk memberikan pendahuluan kepada Arsenal yang juga merupakan gol pertamanya untuk Arsenal dalam tempoh lebih satu tahun. 2 minit kemudiannya, kecederaan Igansi Miquel telah menyaksikan Jernade Meade diberikan debutnya di posisi bek kiri.

Perlawanan kemudiannya kembali menjadi gila apabila Reading menyamakan kedudukan 5 minit sebelum tamat perlawanan dan ianya dilihat akan ditentukan menerusi penentuan penalti. Tetapi Walcott mempunyai idea yang lain apabila percubaan Arshavin yang ditepis menuju ke arahnya disudahkan dengan gol untuk memastikan Arsenal tidak perlu ke penentuan penalti.

Reading yang cuba mencari gol penyamaan di masa kecederaan kemudiannya terperangkap apabila kegagalan pemain Reading membaca bola 'clearance' daripada Walcott telah menyaksikan Chamakh melambung bola melepasi Federici yang telah terkeluar daripada posisinya untuk memastikan Arsenal mara ke suku akhir dan menghancurkan terus harapan Reading untuk mengheret Arsenal ke penentuan penalti.

Tamat perlawanan Arsenal 7-5 Reading. Perlawanan yang cukup gila dan cukup boleh dibanggakan kerana kebanyakan pemain yang diturunkan Arsenal bukanlah barisan kesebelasan utama walaupun cukup berpengalaman menerusi Koscielny, Walcott, Djourou, Chamakh dan Arshavin. Kemasukkan Thomas Eisfeld telah menukarkan segala-galanya menjadi lebih baik kepada Arsenal.

Eisfeld merupakan pembelian tunggal Wenger di jendela perpindahan musim sejuk 2012 dan ianya telah dikecam peminat yang mahukan pemain baru dibawa masuk. Tetapi kini peminat pastinya gembira dengan keputusan Wenger untuk membelinya 6 bulan lebih awal daripada yang dirancangkan. Hanya 9 bulan selepas menyertai Arsenal, Eisfeld telah menunjukkan bakatnya dan mungkin suatu hari nanti akan menjadi seperti heronya, Tomas Rosicky. Adios.

0 comments:

Post a Comment