02 October 2012

September 2012 Review

Selepas 2 keputusan seri 0-0 pada bulan Ogos peminat mengharapkan bulan September yang lebih bagus daripada Arsenal walaupun pasukan terpaksa menentang 3 pasukan juara dalam masa seminggu. 6 perlawanan berlangsung sepanjang bulan September dengan 1 perlawanan Champions League dan Capital One Cup serta 4 perlawanan liga.

5 kemenangan daripada 6 perlawanan dengan 1 kekalahan. Melepaskan 6 gol sementara meledak sejumlah 18 gol. Bulan September turut menyaksikan Lukas Podolski, Santi Cazorla, Olivier Giroud serta Ignasi Miquel menjaringkan gol pertama mereka untuk pasukan. Namun penjaring terbanyak Arsenal sepanjang bulan September ialah Gervinho dengan 4 gol. 1 gol mengatasi Podolski serta Theo Walcott.

Perlawanan pertama bulan September menyaksikan Arsenal mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Liverpool dengan Lukas Podolski serta Santi Cazorla menjaringkan gol pertama mereka untuk Arsenal. Walaupun Liverpool lebih banyak mendominasi perlawanan Arsenal menunjukkan ketajaman mereka di hadapan pintu gol Liverpool sementara kukuh di bahagian pertahanan.

Perlawanan kedua bulan September menyaksikan Arsenal mencatatkan kemenangan 6-1 ke atas pendatang baru liga, Southampton yang juga bekas kelab Theo Walcott dan Alex Oxlade-Chamberlain. Kieran Gibbs telah memaksa pemain Southampton menjaringkan 2 gol sendiri sementara Gervinho meledak 2 gol dan Podolski serta Walcott menlengkapkan kemenangan bergaya Arsenal. Namun sayangnya kesilapan Wojciech Szczesny akhirnya menyaksikan Arsenal melepaskan gol pertama musim ini.

Arsenal kemudiannya terbang ke Perancis untuk perlawanan pertama Champions League musim ini. Olivier Giroud membuat kemunculan pertamanya di Montpellier sebagai pemain Arsenal dengan mencipta peluang kepada gol penyamaan yang dijaringkan Lukas Podolski selepas Montpellier mendahului menerusi sepakan penalti. Gervinho kemudiannya memastikan Arsenal mengutip 3 mata penuh sebelum pasukan yang dikendalikan Steve Bould memandangkan Arsene Wenger digantung 3 perlawanan Eropah lebih banyak bertahan pada separuh masa kedua.

Arsenal kemudiannya mengikat juara EPL, Manchester City 1-1 di Etihad Stadium selepas Laurent Koscielny menjaringkan gol penyamaan untuk Arsenal 8 minit sebelum tamat perlawanan. Walaupun beraksi cemerlang di separuh masa pertama Arsenal kurang bernasib baik apabila ketinggalan 1-0 selepas gagal mengawal Joleon Lescott yang menanduk masuk gol untuk Man. City.

Arsenal kemudian mengganas sekali lagi di Emirates apabila mencatatkan kemenangan 6-1 ke atas Coventry City di saingan Piala Capital One. Damien Martinez dan Martin Angha diberikan debut penuh mereka sementara Serge Gnarby turut diberikan debutnya selepas masuk sebagai pemain gantian. Giroud turut menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal bersama-sama Miquel pada perlawanan tersebut sementara Theo Walcott meledak 2 gol dengan Andrey Arshavin dan Alex Oxlade-Chamberlain melengkapkan kemenangan tersebut.

Perlawanan menentang Coventry turut menyaksikan Emmanuel Frimpong masuk sebagai pemain gantian dan beraksi selama lebih kurang 30 minit. Pertengahan bulan September juga menyaksikan Jack Wilshere kembali menyertai latihan bersama skuad utama sebelum Frimpong dan Wilshere kemudiannya disertai oleh Bacary Sagna. Perlawanan menentang Coventry juga menyaksikan sejarah dicipta apabila Nico Yennaris yang 12 tahun sebelumnya menjadi maskot untuk Arsenal menentang Coventry dan kemudiannya turun beraksi menentang pasukan yang sama.

Perlawanan terakhir bulan September telah menyaksikan Arsenal mencatatkan kekalahan pertama musim ini selepas tewas 2-1 kepada musuh London, Chelsea. Walaupun Gervinho menyamakan kedudukan sebelum separuh masa, gol sendiri Laurent Koscielny telah menyaksikan Arsenal hampa dengan gagal untuk mengutip sebarang mata di laman sendiri.

Pemain terbaik September Arsenal? Di dalam kepala Atikah ianya Lukas Podolski ataupun Gervinho. Namun Gervinho telah menampilkan prestasi yang kurang konsisten. So Atikah mungkin akan memilih Podolski sebagai pemain terbaik bulan September Arsenal. Tetapi sedikit perasaan Atikah mahu berikannya kepada bek kiri, Kieran Gibbs. Haha.

Arsenal U-21 tidak mempunyai bulan September yang bagus apabila hanya mampu mencatatkan keputusan 1 kemenangan, 1 seri dan 1 kekalahan dalam 3 perlawanan sepanjang September. Menang 3-0 ke atas Everton sebelum dipaksa seri 1-1 dengan Norwich sebelum tewas 4-1 di tangan West Ham. Pemain terbaik bulanan skuad U-21 Arsenal? Ianya di antara Sanchez Watt dan juga Kyle Ebecilio.

U-19 turut mencatatkan kekalahan dalam perlawanan NextGen Series mereka pada bulan September selepas tewas 2-0 di Greece kepada Olympiacos dengan Hector Bellerin turut menyaksikan beliau dibuang padang. Pemain terbaik U-19? Hmm. Agak sukar untuk memilihnya memandangkan mereka tewas. Tetapi Atikah mungkin akan berikannya kepada penjaga gol, Reice Charles-Cook.

Skuad U-18 dilihat mempunyai bulan September. yang lebih baik selepas mencatatkan keputusan 3 kemenangan dan 1 seri sepanjang bulan September. U-18 Arsenal mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Everton, 3-0 ke atas West Ham dan Norwich sebelum seri 0-0 dengan West Brom. Pemain terbaik bulanan skuad akademi Arsenal Atikah berikan kepada Jon Toral yang sekali lagi yang cukup cemerlang.

Arsenal Ladies mempunyai bulan September yang lebih cemerlang daripada pasukan lelaki Arsenal. 5 kemenangan dalam 5 perlawanan termasuk kejayaan menumpaskan Barcelona Ladies 3-0 di Sepanyol serta menundukkan Bristol Academy 4-0 di separuh akhir Continental Cup sebelum mencatatkan kejayaan 3-2 ke atas Doncaster Rovers Belles untuk memastikan mereka menjulang trofi FA WSL dengan baki 1 perlawanan dan masih lagi belum tewas.

Kemenangan 2-1 ke atas Lincoln dan 4-1 ke atas Liverpool melengkapkan lagi bulan September yang cemerlang untuk pasukan Arsenal Ladies yang baru ditabalkan sebagai juara FA WSL. Pemain terbaik bulan September Arsenal Ladies? Ianya sesuatu yang sukar. Ianya di antara Gemma Davison, Katie Chapman, Ellen White ataupun Jordan Nobbs.

Atikah akhirnya membuat keputusan untuk berikan kepada Katie Chapman. Menjaringkan 3 gol daripada 5 perlawanan serta memimpin pasukan dengan cukup baik sekali dengan tanpa penat lelah membantu dua pemain muda Arsenal Ladies Nobbs dan Kim Little di bahagian tengah. Tidak mengejutkan jika Chapman menjadi sebab Jordan Nobbs beraksi semakin baik sejak kebelakangan ini.

Secara keseluruhannya kesemua pasukan Arsenal mempunyai bulan September yang baik. Namun harapnya bulan Oktober akan menjadi lebih baik terutamanya bagi pasukan utama Arsenal yang mempunyai jadual yang lebih mudah di bulan Oktober. Bagi pasukan Arsenal Ladies pula mereka mahu mengekalkan rekod tanpa tewas mereka di saingan liga pada perlawanan terakhir musim liga menentang Birmingham sebelum memusnahkan terus Barcelona di Boreham Wood dan memenangi kejuaraan kedua mereka musim ini di final Continental Cup pada bulan Oktober. Adios.

0 comments:

Post a Comment