09 October 2012

Get To Know : Young Guns Strikers

Ini merupakan artikel terakhir Get To Know : Young Guns. Atikah mungkin akan meneruskannya dengan skuad utama dan Ladies Arsenal nanti. Apa-apa pun mari kita berikan fokus kepada barisan penyerang skuad akademi Arsenal yang dibarisi beberapa pemain yang cukup dikenali peminat Arsenal. Seramai 4 penyerang telah dipinjamkan iaitu Benik Afobe, Wellington, Philip Roberts dan Sanchez Watt.

3 lagi penyerang yang mempunyai kontrak professional iaitu Nigel Neita, Zak Ansah dan Austin Lipman berada bersama skuad untuk mengetuai barisan serangan pasukan akademi. Tarum Dawkins, Alex Iwobi dan Chuba Akpom pula berada di tahun pertama mereka di akademi dan masih lagi belum ditawaran kontrak professional.

Benik Afobe merupakan penyerang berbadan sasa berusia 19 tahun yang kini telah dilepaskan secara pinjaman di bawah bimbingan Owen Coyle di Bolton. Afobe mula mengetuk pintu skuad utama sejak musim lepas lagi. Afobe pernah dipinjamkan ke Reading dan sebahagian daripada pasukan Reading yang memperoleh tempat ke EPL musim ini. Afobe turut merupakan tonggak utama England U-19 yang ke EURO U-19 musim panas lalu yang mara sehingga ke separuh akhir.

Afobe turut merupakan sebahagian daripada pasukan yang ke jelajah Asia Arsenal. Walaupun belum membuat sebarang kemunculan sulungnya untuk Arsenal secara kompetitif Afobe dilihat bakal menjadi salah seorang yang mampu memecah masuk skuad utama Arsenal pada masa depan. Apa yang pasti Afobe perlu menggunakan setiap peluangnya di Bolton sebelum mula memecah masuk skuad utama.

Sanchez Watt merupakan pemain berusia 21 tahun yang sering beraksi di bahagian sayap. Telah membuat debutnya bersama skuad utama semasa kemenangan 2-0 ke atas West Bromwich Albion di saingan Piala Carling dimana beliau turut menjaringkan gol. Namun bermula musim lepas Watt mula dilepaskan secara pinjaman dan dilihat semakin disisihkan oleh Arsene Wenger.

Kini sekali lagi dilepaskan secara pinjaman ke Conchester apa yang akan berlaku kepada karier Watt di Arsenal akan terus menjadi persoalan. Adakah Watt akan kembali mengetuk skuad utama ataupun beliau akan meninggalkan Arsenal untuk mencari aksi kesebelasan utama secara lebih kerap akan terus menjadi persoalan.

Wellington merupakan pemain berusia 19 tahun yang menyertai Arsenal daripada Fluminese pada Januari 2011 namun disebabkan Arsenal gagal untuk mendapatkan permit kerja untuknya, Wellington terpaksa dipinjamkan ke liga Sepanyol sehingga permohonan permit kerjanya diterima FA England. Tidak banyak yang diketahui tentang pemain kelahiran Brazil ini.

Philip Roberts merupakan penyerang berusia 18 tahun yang menyertai Arsenal daripada Norwich pada musim panas 2010. Kini dipinjamkan ke kelab Scotland, Inverness CT. Jumlah gol Roberts tidak menghampakan apabila meledak sejumlah 9 gol bersama skuad simpanan sepanjang musim lepas. Masih belum dipanggil oleh Arsene Wenger namun jika Roberts meneruskan peningkatannya tidak mengejutkan jika beliau mula mengetuk skuad utama bermula musim depan.

Nigel Neita merupakan penyerang yang bakal berusia 18 tahun pada Disember ini pernah dipanggil oleh skuad kebangsaan Jamaica walaupun dilahirkan di London. Sering diletakkan di posisi sayap kiri oleh Steve Bould, Neita merupakan bekas pemain akademi Millwall sebelum menyertai Arsenal dan kemudiannya menandatangani kontrak professional dengan Arsenal sebelum musim 2010/2011.

Zak Ansah merupakan penyerang berusia 18 tahun yang kini diketepikan akibat kecederaan lutut yang serius yang di alaminya musim lepas. Ansah yang pernah diletakkan oleh Steve Bould di bahagian tengah selesa beraksi di bahagian sayap ataupun sebagai penyerang utama.

Austin Lipman baru sahaja menandatangani kontrak professional hanya beberapa hari selepas hari jadi ke-17nya. Berada di Arsenal sejak berusia 8 tahun lagi Lipman kini akan mula meneruskan peningkatannya bersama-sama skuad U-18 Arsenal dan juga U-19 sebelum mula mengetuk pintu skuad U-21 dan skuad utama.

Chuba Akpom dilihat akan ditawarkan kontrak professional tidak lama lagi selepas hari ini menyambut hari jadi ke-17nya. Cukup menyerlah sepanjang musim ini dan telah pun berada di dalam perancangan Terry Burton untuk skuad U-21 Arsenal menceritakan segala-galanya. Tidak menghairankan jika tidak lama lagi Wenger turut akan memanggilnya.

Alex Iwobi merupakan penyerang berusia 16 tahun merupakan seorang lagi pemain yang telah berada di akademi Arsenal sejak berusia 8 tahun. Pemain kelahiran Nigeria ini juga merupakan sepupu kepada bekas pemain Nigeria, Jay-Jay Okocha. Walaupun dilahirkan di Nigeria, Iwobi telah beraksi bersama skuad U-16 England.

Tarum Dawkins merupakan pemain berusia 17 tahun yang menyertai Arsenal daripada Luton Town selepas Arsenal menewaskan beberapa lagi kelab Liga Perdana Inggeris untuk khidmat penyerang muda ini. Selepas menjaringkan sejumlah gol untuk skuad U-16 Arsenal musim lepas, Dawkins akan meneruskan perkembangannya dengan skuad U-18 Arsenal.

Itulah senarai penuh penyerang akademi Arsenal. Dan berakhirlah sudah slot Get To Know : Young Guns. So good luck kepada semua pemain akademi yang mahu mengikut jejak langkah Jack Wilshere ataupun Wojciech Szczesny yang kini merupakan pemain skuad utama Arsenal. Adios.

0 comments:

Post a Comment