23 December 2012

Laura Harvey set to leave Arsenal Ladies

Tahun 2012 merupakan tahun yang cukup cemerlang bagi pasukan Arsenal Ladies walaupun tewas di separuh akhir Piala FA dan juga ditewaskan Frankfurt 4-1 secara agregat di separuh akhir Champions League 2012. Kejayaan menjulang kejuaraan liga FA WSL tanpa tewas dengan rekod 10 kemenangan dan 4 seri berserta kejayaan mempertahankan Piala Continental diikuti dengan kejayaan membenam Barcelona 7-0 secara agregat di Champions League serta menundukkan Turbine Potsdam 6-4 secara agregat untuk mencipta sejarah sebagai pasukan bola sepak wanita England yang pertama berjaya menumpaskan pasukan dari Jerman sama ada di tempat sendiri ataupun tempat lawan.

Tidak keterlaluan untuk menyebut nama Laura Harvey sebagai faktor utama kejayaan tersebut. Tidak ragu-ragu untuk mengkritik pasukannya disebalik keputusan yang baik dicatatkan mereka dan terus menerus mendesak anak buahnya untuk memberikan yang lebih baik lagi selepas kelalaian pasukan telah mengundang kekalahan 2-0 di tangan musuh ketat Chelsea Ladies di separuh akhir Piala FA.

Menjadi pengurus Arsenal Ladies merupakan tugas impian pengurus berusia 32 tahun ini dan telah menegaskan betapa bangganya beliau apabila dinamakan sebagai pengurus Arsenal Ladies selepas Tony Gervaise membuat keputusan untuk mengundurkan diri. Harvey yang cukup mengenali kelab dilihat tiada masalah untuk meneruskan dominasi Arsenal Ladies di dalam kancah bola sepak wanita England.

Jurulatih yang sebelum ini merupakan pengurus skuad simpanan telah membawa masuk beberapa pemain yang cukup berpotensi daripada pasukan akademi seperti Danielle Carter yang telah memberikan impak bersama-sama skuad utama serta beberapa lagi pemain muda seterusnya meneruskan tradisi kelab mengetengahkan bakat pemain akademi pasukan yang bekerja keras untuk menerima panggilan skuad utama yang telah pun dibarisi para pemain yang cukup bagus.

Laura Harvey telah menyertai barisan kejurulatihan Arsenal Ladies sejak musim panas 2008 lagi dan dalam masa yang sama membantu menguruskan skuad England U-19 sebelum kemudiannya meletak jawatannya pada tahun 2011 untuk memberikan fokus penuhnya kepada Arsenal Ladies selepas mengakui tugasnya ini cukup mencabar dan memerlukan perhatian penuhnya.

Mengambil alih pasukan pada 11 Februari 2010, perlawanan pertamanya sebagai pengurus pasukan Arsenal Ladies adalah 3 hari selepas perlantikannya di perlawanan suku akhir Piala FA menentang Doncaster Rovers Belles. Hat-trick daripada Kim Little dan satu gol daripada Rachel Yankey dan satu lagi gol sendiri telah menyaksikan Laura memenangi perlawanannya dengan penuh bergaya dengan keputusan 5-0.

Perlawanan derby pertama Laura Harvey hadir 3 minggu selepas debut pengurusannya. Hat-trick daripada Helen Lander, Ruesha Littlejohn serta 2 gol daripada Lauren Bruton dan masing-masing satu gol daripada Jayne Ludlow dan Gemma Davison mengesahkan kemenangan besar 10-0 Arsenal Ladies ke atas Tottenham Hotspurs untuk memastikan pasukan mara ke final London FA Women's Senior Cup.

Perlawanan liga pertamanya adalah pada 7 Mac 2010 menentang Blackburn Rovers gol sendiri daripada pemain Blackburn berserta satu gol daripada Gemma Davison, Danielle Carter dan Jayne Ludlow mengesahkan kemenangan 4-1 Arsenal Ladies. 3 hari kemudiannya Laura mengemudi pasukan di perlawanan Champions League pertamanya menentang FCR 2001 Duisburg.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan 2-1 sebelum Arsenal Ladies tersingkir dari suku akhir Champions League selepas tewas 2-0 di perlawanan timbal balik 4 hari kemudiannya. Itu merupakan satu-satunya perlawanan yang menyaksikan pasukan bimbingan Laura Harvey tewas sebelum final Piala FA pada bulan Mei menjadi kekalahan seterusnya oleh pengurus yang baru berusia 29 tahun sewaktu itu.

Kemenangan 3-0 ke atas Leeds Carnegie pada 12 Mei hasil 2 gol daripada Kim Little dan satu lagi gol daripada Gemma Davison di Emirates Stadium mengesahkan kemenangan liga Arsenal Ladies seterusnya muncul sebagai piala pertama Arsenal Ladies di bawah bimbingan Laura Harvey disebalik kemenangan 6-0 ke atas Millwall pada penghujung bulan Mac yang menyaksikan Arsenal Ladies memenangi piala London FA Women's Senior.

Musim penuh pertama Laura Harvey di kelab bermula dengan cukup baik sekali. Kemenangan 12-1 ke atas ZFK Masinac secara agregat telah memulakan musim penuh pertama Laura Harvey. Laura kemudiannya memastikan anak buahnya bangkit daripada ketinggalan 2-0 secara agregat untuk menundukkan pasukan Sepanyol, Rayo Vallecano untuk mara ke suku akhir Champions League.

Arsenal Ladies kemudiannya membalas dendam kekalahan 3-2 mereka ke atas Everton di final Piala FA tahun sebelumnya selepas gol daripada Rachel Yankey dan Katie Chapman memastikan pasukan mara ke separuh akhir Piala FA. Keputusan dramatik di Champions League berterusan di bawah bimbingan Laura Harvey apabila Katie Chapman sekali lagi memastikan pasukan Laura Harvey mara ke separuh akhir Champions League selepas Arsenal Ladies mara menerusi gol ditempat lawan selepas kedudukan terikat 3-3 secara agregat menentang Linkoping.

Kekalahan 2-0 ke atas Lyon minggu sebelumnya tidak menganggu Gilly Flaherty daripada memberikan kemenangan pertama Arsenal Ladies di saingan FA WSL. Disebalik cubaan pasukan untuk meneruskan keputusan dramatik mereka di Champions League, Arsenal akur selepas tewas 3-2 di tangan Lyon seterusnya gagal melayakkan diri ke final Champions League 2011 di Craven Cottage.

2 keputusan mengecewakan sebelum final Piala FA dilihat bakal menggangu pasukan namun Laura Harvey telah memastikan pasukannya memenangi perlawanan tersebut hasil aksi berkelas dunia daripada pemain tengah, Kim Little untuk memastikan Laura Harvey menjulang kejuaraan yang cukup hampir dijulangnya setahun sebelum itu. Lebih manis lagi beliau menjulangnya di bandar tempat kelahirannya.

2 kekalahan yang dicatatkan pasukan di saingan liga berserta hakikat hanya 1 mata berjaya dikutip mereka daripada pendahulu liga, Birmingham City hampir menyaksikan Laura Harvey berputih mata untuk menjulang kejuaraan FA WSL. Namun gol penting Kim Little pada perlawanan kedua terakhir musim menentang Everton memastikan Arsenal Ladies mendahului liga buat pertama kalinya dengan kelebihan 1 mata.

2 gol daripada Rachel Yankey dan penalti daripada Kim Little mengesahkan kemenangan 3-1 Arsenal Ladies ke atas Liverpool Ladies seterusnya memastikan Birmingham menyaksikan pasukan bimbingan Laura Harvey menjulang kejuaraan FA WSL. Birmingham kemudiannya gagal membalas dendam apabila tunduk 4-1 di tangan Arsenal Ladies di perlawanan akhir Piala Continental seterusnya mengesahkan kejuaraan treble pertama Arsenal Ladies sejak musim 2008/2009 dan yang pertama dibawah bimbingan Laura Harvey.

Selepas memastikan Arsenal Ladies mara ke separuh akhir Champions League 2011 serta kejayaan treble dan membawa pasukannya mara ke suku akhir Champions League 2012, Laura Harvey telah dinamakan sebagai pengurus terbaik tahunan FA WSL hasil pencapaian Harvey sepanjang tahun 2011 yang juga musim penuh pertamanya di Arsenal Ladies.

Tahun 2012 menyaksikan Arsenal Ladies sekali lagi gagal mara ke final Champions League kali ini tewas 4-1 secara agregat kepada Frankfurt. Selepas tewas 2-0 kepada Chelsea di separuh akhir Piala FA, Harvey telah memastikan pasukannya memenangi liga dengan rekod tanpa tewas sebelum melengkapkan double dengan kemenangan 1-0 ke atas Birmingham di final Piala Continental.

Laura turut membimbing pasukannya mencatatkan kemenangan bermakna 7-0 secara agregat menentang Barcelona Ladies sebelum memastikan pasukannya mencatatkan kemenangan bersejarah 2-1 dan 4-3 ke atas kelab Jerman, 1. FFC Turbine Potsdam seterusnya memastikan pasukannya menamatkan tahun 2012 dengan nota cemerlang.

Selepas pasukan-pasukan lain di FA WSL membawa masuk beberapa nama besar beserta pertukaran pengurus pasukan, Arsenal Ladies telah dikejutkan dengan tawaran Seattle Regins FC yang merapati pengurus pasukan berusia 32 tahun ini. Laura Harvey yang mengakui ianya merupakan keputusan yang cukup sukar buatnya untuk meninggalkan Arsenal Ladies, namun pada akhirnya tawaran yang ditawarkan pasukan professional dari Amerika Syarikat tersebut cukup sukar untuk ditolaknya.

Arsenal Ladies yang bersiap sedia dengan pra-musim serta perlawanan Champions League menentang ASD Torres pada bulan Mac nanti kini perlu mencari pengurus baru untuk menggantikan pengurus yang cukup berjaya selepas menggantikan Tony Gervaise 2 setengah tahun yang lalu dan seterusnya nama beliau akan sebaris dengan nama Vic Akers di kalangan peminat Arsenal Ladies atas segala trofi yang dimenangi di kelab serta pengurusannya di Arsenal Ladies.

Para pemain sudah semestinya bakal merasai kehilangan pengurus pasukan mereka ini dan teka teki siapa bakal menggantikannya akan terus menjadi persoalan sehingga Vic Akers mengumumkan siapa bakal membimbing Arsenal Ladies untuk terus mendominasi bola sepak wanita di England. Apa yang pasti peminat Arsenal Ladies akan berharap pengurus keempat mereka itu akan meneruskan tradisi Arsenal Ladies yang beraksi dengan corak serangan dan formasi 4-3-3.

Selamat maju jaya Atikah ucapkan kepada Laura Harvey dan Atikah pasti pintu pasukan Arsenal Ladies akan terus terbuka kepada pengurus pasukan yang telah membimbing pasukan memenangi 6 trofi kejuaraan dalam tempoh 2 tahun setengahnya membimbing Arsenal Ladies untuk kembali pada bila-bila masa. Adios.

0 comments:

Post a Comment