12 December 2012

On The Spot : Katie Chapman

Bulan lepas telah menyaksikan bintang utama pasukan Arsenal Ladies, Kim Little menjadi pilihan Atikah sementara kali ini Atikah memilih penolong kapten pasukan Arsenal Ladies sebagai pilihan. Ataupun sebenarnya beliau dilihat lebih banyak memainkan peranan sebagai kapten pasukan terutama sekali dengan kapten pasukan, Faye White berehat seketika sementara penolong kapten pasukan sebenar bergelut dengan masalah kecederaan.
Katie Sarah Chapman yang dilahirkan pada 15 Jun 1982 di Bermondsey, London, England memulakan kariernya bersama Millwall Lionesses sejak berusia 10 tahun dan membuat debutnya bersama skuad utama seawal usia 14 tahun. Beliau membantu Millwall memenangi Piala FA dan Piala Liga pada musim sulungnya bersama skuad utama. Musim 1998/1999 menyaksikan Chapman muncul pemenang Young Player of The Year pada anugerah FA pertama untuk bola sepak wanita.

Pada Jun 2000 Chapman menyertai Fulham yang muncul kelab professional dan menjadi pemain bola sepak wanita England pertama yang menandatangani kontrak professional berserta menerima bayaran paling tinggi di Fulham. Musim pertamanya menyaksikan Chapman memenangi liga South West Combination iaitu divisyen ketiga bola sepak wanita England dan sekali lagi dinamakan FA Young Player of The Year. Musim keduanya telah menyaksikan Chapman membantu Fulham memenangi treble dan telah menyaksikan pengurusnya di Fulham memberitahu yang Chapman cukup bagus untuk bermain untuk mana-mana pasukan kebangsaan di dunia.

Selepas kejayaan treble iaitu kejuaraan liga, Piala FA dan Piala Liga, musim seterusnya menyaksikan Chapman terlepas sebahagian besar musim Fulham yang sekali lagi memenangi treble selepas mengumumkan dirinya mengandung pada rehat separuh masa semasa menentang Trenmere Rovers sebelum dikeluarkan oleh pengurusnya pada separuh masa kedua. Chapman kembali beraksi pada Ogos 2003 pada perlawanan Perisai Komuniti semasa Fulham tidak lagi menjadi pasukan professional.

Pada Julai 2004 Chapman menyertai Charlton Athletic dan membuat debutnya semasa menewaskan Arsenal dalam perlawanan Perisai Komuniti dan perlawanan terakhirnya untuk Charlton pada musim 2004/2005 adalah pada Mac 2005 semasa tewas kepada Arsenal di final Piala Liga selepas beliau patah tangan semasa menjalani tugasan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan England.

Hanya 4 bulan selepas membantu Charlton menewaskan Arsenal di Piala Liga, Katie Chapman menyertai Arsenal pada Julai 2006. Membuat debutnya dalam kemenangan Perisai Komuniti dan turut menjaringkan gol dalam debutnya. Musim pertamanya di Arsenal telah menyaksikan Arsenal mencatatkan 'quadruple' iaitu kejayaan memenangi liga, Piala FA, Piala Liga dan kejohanan Eropah. Ianya telah menyaksikan Emma Hayes iaitu penolong pengurus Arsenal Ladies memberikan pujian kepada Katie Chapman.

Emma Hayes telah memberitahu yang Chapman bagaikan 'a rock that makes everything around her better. She was the engine and heartbeat of the successful quadruple-winning team'. Pertengahan musim 2007/2008 menyaksikan Chapman sekali lagi mengumumkan yang beliau mengandung dan telah terlepas sepanjang musim tersebut sebelum kembali pada September 2008.

Musim 2008/2009 menyaksikan Chapman membantu Arsenal Ladies memenangi treble iaitu kejuaraan liga, Piala FA dan Piala Liga. Namun pada Disember 2009, Arsenal Ladies dikejutkan dengan keputusan Chapman untuk meninggalkan pasukan dan menyertai bekas penolong pengurus Arsenal Ladies, Emma Hayes ke Chicago Red Stars di United States. Selepas 21 penampilan pada musim 2009/2010, Chapman mencapai persetujuan dengan Arsenal untuk keluar daripada kontraknya.

Selepas dilaporkan suaminya menghadapi masalah untuk mencari pekerjaan di Amerika, Chapman membuat keputusan untuk kembali dan semasa Arsenal Ladies bersiap sedia dengan musim sulung FA WSL, Arsenal mengesahkan Chapman kembali menyertai Arsenal pada Oktober 2010 dengan General Manager Arsenal Ladies, Vic Akers mendedahkan selepas proses yang lama dan kemahuan Chapman untuk kembali, beliau gembira Arsenal berjaya mengesahkan kembalinya Chapman ke pangkuan pasukan selepas memberitahu ianya menyedihkan beliau apabila Chapman membuat keputusan untuk meninggalkan Arsenal selepas Akers mengakui ianya mengambil masa yang agak lama untuk membawa Chapman daripada Charlton untuk menyertai Arsenal.

Chapman hanya kembali beraksi buat Arsenal pada 11 November 2010 dan telah menjadi faktor penting maranya Arsenal Ladies ke suku akhir Champions League selepas menjaringkan gol penting pada minit-minit akhir perlawanan menentang Rayo Vallecano sebelum memastikan Arsenal Ladies mara ke separuh akhir selepas menjaringkan gol penyamaan semasa menentang Linkopings FC pada 23 Mac 2011 dan ianya telah mengundang pujian daripada pengurus pasukan Arsenal Ladies, Laura Harvey.

Pada Mei 2011 Katie Chapman telah diberikan lilitan lengan kapten Arsenal Ladies oleh Laura Harvey untuk perlawanan final Piala FA selepas kecederaan yang menimpa Faye White dan Jayne Ludlow. Chapman telah mengetuai Arsenal Ladies menjulang Piala FA yang juga Piala FA kelapan dalam kariernya. Tahun itu juga menyaksikan Chapman membantu Arsenal mara ke separuh akhir Champions League serta kejayaan treble.

Selepas kejayaan treble Arsenal Ladies, Katie Chapman mungkin sudah berusia 29 tahun semasa memulakan musim 2011/2012 Arsenal Ladies, namun Chapman telah mempunyai musim yang agak cemerlang dan cukup konsisten. Mungkin Jordan Nobbs dan Kim Little saling diperhatikan sepanjang musim, dalam diam Chapman mungkin mempunyai musim terbaiknya di dalam jersi Arsenal dan telah menerima banyak pujian daripada banyak pihak yang menganggapnya sebagai pemain tengah terbaik liga.

Faye White yang mengumumkan dirinya mengandung dan kecederaan serius Jayne Ludlow telah menyaksikan Katie Chapman menghabiskan hampir sepanjang musim dengan memakai lilitan lengan kapten.Walaupun Katie menyifatkan tugas kapten pasukan dibahagikan dengan dirinya dan Ludlow, kehadiran Jordan Nobbs telah menyaksikan Ludlow disisihkan selepas pulih daripada kecederaan dan ini menyaksikan Chapman menghabiskan hampir keseluruhan musim sebagai kapten pasukan Arsenal.

Chapman telah menjadi antara pemain paling lantang bersuara selepas tewas di separuh akhir Piala FA di tangan Chelsea Ladies. Chapman turut menjaringkan sejumlah 5 gol untuk Arsenal Ladies di saingan liga selain 4 gol di saingan Eropah. Gandingannya bersama-sama Jordan Nobbs dan Kim Little jelas cukup serasi dengan ini menyaksikan lebih banyak gol dijaringkan di bahagian tengah Arsenal.

Ianya dibuktikan apabila Laura Harvey lebih senang bergantung kepada trio ini berbanding meletakkan Steph Houghton di posisi tengah walaupun cukup cemerlang di saingan Olimpik. Jayne Ludlow yang sebelum ini hampir mustahil untuk diketepikan daripada kesebelasan utama telah menjadi mangsa kepada gandingan trio Chapman-Little-Nobbs ini.

Chapman sekali lagi mengetuai Arsenal menjulang double dan mara ke separuh akhir Champions League buat 2 musim berturut-turut. 5 trofi yang dimenangi Chapman sejak kembali berbanding hanya 1 trofi dijulang Arsenal Ladies semasa kehilangannya telah menunjukkan impak pemain berjersi nombor 17 ini.

Chapman memulakan karier antarabangsanya seawal usia 16 tahun bersama-sama skuad U-18 England dan kemudiannya dinamakan sebagai kapten pasukan. Pada usia 17 tahun, Chapman membuat debutnya bersama skuad senior England. Pada EURO 2001, Chapman telah dipuji oleh UEFA dan juga pengurus skuad kebangsaan Jerman menerusi persembahannya sepanjang kejohanan. 

Chapman hanya menjaringkan gol pertamanya untuk England pada Mac 2002. Chapman yang dinamakan FA International Player Of The Year pada tahun 2002 yang terpaksa terlepas aksi bersama-sama kelab dan negaranya telah menjadi faktor kegagalan England mara ke Piala Dunia 2003. Chapman kemudian menjadi tonggak penting EURO 2005 England selepas diletakkan di posisi tengah berbanding di bahagian pertahanan walaupun terpaksa bermain dengan kecederaan di tangannya.

Chapman sekali lagi menjadi tonggak di Piala Dunia 2007. Selepas hampir 2 tahun disisihkan kerana mengandung anak kedua, Chapman kembali ke skuad kebangsaan dengan 2 gol di Piala Cyprus. Pada Mei 2009 Chapman muncul salah seorang daripada 17 pemain yang menerima kontrak daripada FA England. Chapman kemudiannya muncul kompenen penting kejayaan England di EURO 2009 yang menyaksikan mereka muncul naib juara.

Persembahannya sekali lagi menyaksikan beliau menerima FA International Player Of The Year. Sebelum perlawanan persahabatan England dengan United States pada Mac 2011, Chapman membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa pada usia 28 tahun. Ianya dilaporkan kerana komitmennya kepada 2 orang anak lelakinya serta Arsenal. 

Pada Olimpik 2012 wujud laporan bahawa Chapman mungkin bersedia keluar daripada persaraannya di pentas antarabangsa untuk mewakili skuad Great Britain terutama sekali kejohanan tersebut akan dilangsungkan di London. Namun pada akhirnya nama Chapman tidak pernah dipanggil Hope Powell dan Chapman sendiri tidak pernah mengesahkan minatnya untuk menyertai Team GB di Olimpik London.

Katie Chapman mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinannya dengan Mark. Harvey dilahirkan pada tahun 2003 semasa mewakili Fulham sementara Riley dilahirkan pada tahun 2008 sewaktu Chapman mewakili Arsenal. Kedua-dua anaknya cukup dikenali dikalangan peminat dan pemain Arsenal Ladies dan mereka berdua dianggap sebagai maskot Arsenal Ladies. Dan setiap kali Arsenal Ladies menamatkan musim dengan memenangi trofi, pasti akan ada kedua-dua anak Chapman turut serta meraikannya.

Pernah dibandingkan dengan David Beckham, tanda pengenalan permainan Chapman adalah 'strength, fierce tackling and heading ability'. Apabila anda lihat siapa yang membuat bentesan yang cukup keras tetapi cukup bersih, anda akan melihat nama Chapman dibelakang jersi tersebut. Chapman juga merupakan pemain yang cukup selesa berada di setiap penjuru padang untuk membantu pasukan.

'You can’t buy someone with the attitude that Kate has got. She is such a fighter and epitomises. When you match that with the quality that she possesses, it makes her such a high-quality player and that has shone through in pretty much every game we have played. Kate has had a big impact on our squad. Off the pitch, as well as on it, she is a great girl to have around. She pulls a lot of the younger ones through and shows them the right way to do things.' -Laura Harvey-

0 comments:

Post a Comment