07 September 2012

Get to know : Young Guns Defenders

Dalam artikel kali ini mari kita kenali para pemain pertahanan akademi Arsenal. 12 pemain merupakan pemain pertahanan dan 7 pemain daripada senarai ini telah pun menandatangani kontrak professional sementara seorang pemain merupakan second year scholar dan 4 lagi pemain merupakan first year scholar.

Siapa yang tidak mengenali Ignasi Miquel? Miquel membuat debutnya bersama pasukan utama sejak musim 2010/2011 lagi dan bermain 2 perlawanan Piala FA. Musim lepas telah menyaksikan Miquel beraksi 5 kali bersama skuad utama dan 4 kali masuk sebagai pemain gantian dengan kebanyakan bermain sebagai pemain bek kiri dan Miquel beraksi di setiap kejohanan yang disertai Arsenal musim lalu.

Musim panas ini telah menyaksikan Miquel menyertai jelajah Asia Arsenal dengan skill Miquel telah menyaksikan terhasilnya gol kemenangan yang dijaringkan Chuks Aneke semasa menentang Malaysia XI. Merupakan pemain buangan akademi La Masia, Miquel menyertai Arsenal sejak berusia 15 tahun selepas memulihkan reputasinya bersama UE Cornella.

Miquel kemudiannya dinamakan sebagai kapten pasukan simpanan dan kini U-21 Arsenal pada permulaan musim 2010/2011. Miquel yang akan genap berusia 20 tahun penghujung bulan ini dilihat akan berterusan akan diberikan kepercayaan oleh Arsene Wenger seterusnya meneruskan peningkatannya di Arsenal. Miquel buat masa ini belum pernah dipinjamkan oleh pasukan lain.

Seorang pemain pertahanan yang berpotensi besar dan mampu beraksi di posisi bek kiri selain di bahagian tengah pertahanan. Miquel merupakan sebahagian daripada pasukan Sepanyol yang menang European Under-19 Championships pada Ogos 2011. Peminat Arsenal pastinya akan melihat kelibat Miquel lagi musim ini terutama sekali apabila berlakunya kecederaan di kalangan pemain pertahanan Arsenal. Namun tidak mengejutkan jika Wenger akan menurunkan Miquel secara tetap di saingan Capital One Cup musim ini.

Hector Bellerin merupakan satu lagi produk akademi La Masia yang berjaya disambar Arsenal. Pemain bek kanan berusia 17 tahun ini telah menggegarkan skuad simpanan dan U-18 Arsenal musim lepas dalam musim debutnya. Bellerin sebenarnya seorang pemain sayap apabila menyertai Arsenal sebelum bertukar sebagai bek kanan dan ianya dilihat merupakan keputusan yang betul.

Baru sahaja menandatangani kontrak professional musim panas ini Bellerin turut mampu menjaringkan gol dan telah pun meledak beberapa gol untuk skuad U-18 Arsenal dan turut menjaringkan satu gol dalam 4 kemunculannya bersama skuad simpanan musim lepas. Bellerin kini merupakan komponen penting di posisi bek kanan untuk skuad U-21 dan U-19 Arsenal di bawah bimbingan Terry Burton.

Peminat Arsenal pastinya tidak sabar untuk menyaksikan Bellerin membuat debutnya bersama skuad utama. Apa yang pasti Bellerin perlu meneruskan peningkatannya bersama skuad U-21 dan U-19 Arsenal di bawah asuhan Terry Burton dan tidak mustahil Wenger akan memanggil Bellerin untuk menyertai skuad utama tidak lama lagi untuk bersaing dengan Bacary Sagna dan Carl Jenkinson serta Nico Yennaris di posisi bek kanan.

Sead Hajrovic merupakan pemain pertahanan Switzerland berusia 19 tahun dan mampu beraksi di posisi bek kanan walaupun posisi sebenarnya adalah di bahagian tengah pertahanan. Merupakan pemenang Piala Dunia U-17 bersama-sama Switzerland pada tahun 2009 dan kemudiannya mengambil alih lilitan lengan kapten U-18 Switzerland.

Menyertai Arsenal daripada Grasshopper Zurich pada Julai 2009 dan kemudiannya menandatangani kontrak professional pada Julai 2010. Hajrovic dilihat hanya akan menjadi pemain sokongan untuk skuad U-21 namun Hajrovic dilihat akan menjadi komponen penting skuad U-19 Arsenal di bahagian tengah pertahanan.

Pernah dipinjamkan ke Barnet pada awal tahun ini dan telah membuat 10 kemunculan di mana Hajrovic membantu Barnet kekal di League Two walaupun tempoh pinjamannya di Barnet dicemari dengan masalah kecederaan. Seorang lagi pemain pertahanan yang berpotensi. Sama ada Hajrovic mampu memecah masuk skuad utama musim ini akan kekal menjadi persoalan.

Martin Angha merupakan pemain pertahanan berusia 18 tahun yang boleh bermain di mana-mana posisi di bahagian pertahanan. Seorang lagi pemain kelahiran Switzerland ini menyertai Arsenal daripada FC Zurich menandatangani kontrak professional musim panas lalu. Sebelum menandatangani kontrak professional lagi Angha telah menarik perhatian Neil Banfield yang menguruskan skuad simpanan.

Angha kini dilihat akan menjadi sebahagian daripada komponen penting bahagian pertahanan Arsenal U-21 dan U-19. Turut pernah dipanggil Arsene Wenger untuk turun berlatih bersama skuad utama ini mungkin petanda Angha akan menjadi pemain seterusnya yang dipanggil Wenger untuk memberikan sokongan kepada pemain skuad utama Arsenal.

Elton Monteiro merupakan satu lagi pemain pertahanan yang berasal daripada Switzerland. Monteiro yang berusia 18 tahun menyertai Arsenal daripada FC Sion pada musim panas 2010 sebelum menandatangani kontrak professional musim panas lepas. Merupakan kapten pasukan U-18 musim lalu Monteiro merupakan komponen penting di bahagian pertahanan skuad bimbingan Steve Bould.

Musim ini menyaksikan Monteiro akan memainkan peranan penting di NextGen Series untuk pasukan U-19 serta U-21 Arsenal yang dibimbing Terry Burton. Apa yang pasti pembantu Wenger, Bould cukup mengenali bekas ketua pasukan U-18 Arsenal ini yang turut menjaringkan 2 gol untuk U-18 Arsenal walaupun bermain sebagai pemain pertahanan tengah.

 Isaac Hayden merupakan pemain pertahanan berusia 17 tahun yang kini dilihat akan menjadi tonggak penting skuad U-18 Arsenal dibawah bimbingan Pat Holland. Menandatangani kontrak professional bulan Mac lalu sebenarnya merupakan seorang pemain tengah bertahan sebelum jurulatih di Arsenal menukarnya sebagai pemain pertahanan tengah.

Menyertai Arsenal daripada Southend, Hayden merupakan anggota tetap skuad U-17 England. Hayden masih lagi memerhatikan peluang untuk memecah masuk ke dalam skuad U-21 Arsenal disamping bersaing untuk posisi kesebelasan utama untuk skuad U-19 Arsenal di NextGen Series. Seorang lagi prospek di bahagian pertahanan namun masa Hayden masih ada perjalanan yang jauh sebelum mampu untuk memecah masuk skuad utama Arsenal.

Samir Bihmoutine merupakan pemain bek kiri yang dulunya menghabiskan karier remajanya sebagai pemain sayap. Samir yang berusia 19 tahun pada Disember ini masih lagi perlu belajar mengenai cara untuk bertahan. Dilihat akan hanya menjadi pemain sokongan untuk skuad U-19 dan U-21 Arsenal, agak mustahil untuk menyaksikan Samir menyertai skuad utama musim ini.

Zachari Fagan merupakan pemain pertahanan yang akan berusia 17 tahun November ini. Mungkin akan diberikan kontrak professional bulan November ini memandangkan beliau telah pun dilihat membina reputasinya sepanjang musim lalu. Fagan merupakan gandingan Isaac Hayden di bahagian tengah pertahanan U-18. Fagan merupakan pemain pertahanan yang tinggi lampai dan merupakan pemain kelahiran London yang menyertai akademi sejak berusia 10 tahun lagi.

Leander Siemann merupakan pemain pertahanan Jerman yang bakal berusia 17 tahun Oktober ini. Siemann menyertai Arsenal daripada Hertha Berlin bulan Mac lalu selepas berjaya menarik perhatian Liam Brady melalui kemampuan teknikalnya sebagai pemain pertahanan menyeluruh dan semasa memegang bola. Siemann masih mempunyai perjalanan yang jauh sebelum mula mencipta namanya seperti Thomas Eisfeld di akademi Arsenal.

Tom Dallison merupakan pemain pertahanan berusia 16 tahun yang menyertai Arsenal daripada West Ham selepas menjalani percubaan yang berjaya di London Colney. Pemain berkaki kiri ini bukanlah seorang pemain yang pantas namun beliau bijak membaca perlawanan dan cukup selesa di udara mahupun apabila bola berada di dalam kawalannya. Dallison dijangka akan menjadi pemain sokongan U-18 Arsenal.

Arinse Uade merupakan pemain bek kiri berusia 17 tahun pada Disember ini yang menarik perhatian Neil Banfield dalam satu perlawanan Independent School. Juga mampu beraksi di bahagian tengah pertahanan, Uade merupakan tonggak pasukan Nigeria U-17 dan memikat perhatian sepanjang beraksi bersama skuad U-16 Arsenal musim lalu. Namun Uade dijangka hanya akan beraksi untuk skuad U-18 Arsenal musim ini.

Brandon Ormonde-Ottewill merupakan seorang lagi pemain bek kiri yang bakal berusia 17 tahun Disember ini pernah menjalani latihan bersama-sama skuad kendalian Arsene Wenger musim lalu sebelum perlawanan menentang Olympiakos di saingan Champions League. Cemerlang pada debutnya bersama U-18 musim lepas, Brandon di jangka akan menjadi tonggak penting di bek kiri U-18 kendalian Pat Holland.

Itu sahajalah senarai pemain pertahanan skuad akademi Arsenal. Untuk pengetahuan anda Zachari Fagan merupakan Second year scholar sementara Liender Siemann, Tom Dallison, Urinse Uade dan Brandon Ormonde-Ottewil merupakan First year scholar. Iaitu mereka di tahun kedua atau pertama di akademi Arsenal secara sepenuh masa. Kita sambung lagi nanti dengan bahagian tengah Arsenal pasukan akademi Arsenal pula. Adios.

0 comments:

Post a Comment