05 September 2012

August 2012 Review

Saingan EPL musim 2012/2013 telah pun bermula dengan perlawanan pembukaan Arsenal adalah menentang Sunderland di Emirates Stadium sebelum berkunjung ke Stadium Britannia menentang Stoke City. Sebelum Ogos lagi Arsene Wenger telah membawa masuk 3 pemain baru iaitu Lukas Podolski, Oliver Giroud dan Santi Cazorla.

Namun hanya beberapa hari sebelum sepak mula, kapten pasukan, Robin Van Persie berhijrah ke musuh ketat, Manchester United yang jelas membangkitkan kemarahan peminat. Ini telah menyaksikan Wenger menamakan kapten baru dengan Thomas Vermaelen telah diberikan lilitan lengan kapten sementara Mikel Arteta ditugaskan sebagai penolong kapten pasukan.

Arsenal memulakan kempen dengan keputusan seri 0-0 dengan Sunderland walaupun mendominasi perlawanan dengan Oliver Giroud mensia-siakan peluang terbaik untuk memberikan Arsenal 3 mata penuh. Namun itu juga merupakan peluang pertama Giroud pada perlawanan tersebut. Lukas Podolski tidak begitu menyerlah sementara Santi Cazorla jelas merupakan kepingan bahagian midfield Arsenal yang hilang sejak Cesc Fabregas pulang ke Barcelona.

Hanya beberapa minit selepas wisel penamat, Arsenal FC dan Wenger sendiri mengesahkan penjualan midfielder lasak Arsenal, Alex Song ke Barcelona. Namun aksi yang ditunjukkan oleh Mikel Arteta yang mengisi ruang kosong yang ditinggalkan Song jelas melegakan peminat. Selepas drama Nuri Sahin berakhir dengan Sahin ke Liverpool secara pinjaman, Arsenal bersedia dengan satu lagi perlawanan yang mencabar di Stoke City.

Sekali lagi keputusannya tetap sama. Arsenal seri 0-0 dengan bahagian pertahanan cukup menyerlah dan ini jelas menunjukkan impak positif kehadiran Steve Bould sebagai penolong Arsene Wenger menggantikan Pat Rice yang bersara. Gandingan Podolski-Giroud-Cazorla cukup menyerlah namun jelas mereka masih perlukan masa lagi untuk memastikan Arsenal mengutip 3 mata berbanding 1 mata.

2 mata daripada 2 perlawanan bukanlah keputusan yang bagus. Tetapi bahagian pertahanan cukup mengkagumkan hanya bahagian serangan masih lagi tumpul. Namun nota-nota positif dapat dilihat. Buat masa ini apa yang kurang hanyalah gol dan juga kepingan yang hilang di bahagian tengah di antara Arteta dan Cazorla.

Abou Diaby masih lagi jauh daripada menyakinkan. Aaron Ramsey turut tidak dapat dipercayai dan hanya Jack Wilshere dilihat merupakan kepingan yang hilang tersebut. Namun Wilshere masih lagi cedera dan hanya dilihat akan kembali pada pertengahan separuh pertama saingan EPL. Alex Oxlade-Chamberlain mungkin mampu melakukannya, namun peminat pasti lebih selesa menyaksikan The OX di bahagian sayap Arsenal berbanding di bahagian tengah kerana faktor kelajuannya.

Arsene Wenger telah menjanjikan pemain yang istimewa kepada peminat Arsenal selepas mengakui mahu membeli seorang pemain tengah defensif yang baru dan seorang pemain pertahanan. Namun pada akhirnya tiada sebarang kemasukan pemain baru. Namun apa yang pasti di bulan September Arsenal perlu mula menjaringkan gol memandangkan kita akan menentang Liverpool, Man. City, Chelsea dan juga perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Champions League.

Pilihan Atikah sebagai pemain terbaik Arsenal sepanjang bulan Ogos adalah pembelian baru Santi Cazorla menerusi persembahan cemerlangnya. Passing cantiknya, kemampuannya merembat dari jarak jauh telah beberapa kali hampir menyaksikan gol. Cazorla dilihat akhirnya merupakan pengganti yang dibawa Wenger untuk mengisi ruang yang ditinggalkan Fabregas musim lalu.

Pintu perpindahan bulan Ogos telah ditutup dan ianya menyaksikan tiada sebarang pemain baru di bawa masuk pada hari terakhir pintu perpindahan. Namun Nicklas Bendtner dan Park Chu Young masing-masing telah keluar secara pinjaman dengan Bedtner ke Juventus dan Park ke Celta Vigo.

Untuk pasukan Arsenal bawah 18 tahun pula menyaksikan keputusan satu kekalahan dan satu keputusan seri daripada 2 perlawanan dengan mereka melepaskan 6 gol dan menjaringkan hanya 2 gol. Selepas dibelasahn Bolton Wanderers pada perlawanan pertama dengan keputusan 5-1, Arsenal U-18 hanya mampu seri 1-1 dengan Blackburn Rovers pada perlawanan kedua mereka yang juga merupakan perlawanan pertama mereka di bawah pengendali baru, Pat Holland. Pemain terbaik U-18 pilihan Atikah ialah Jon Toral yang menjaringkan kedua-dua gol Arsenal pada kedua-dua perlawanan tersebut.

Skuad bawah 21 Arsenal pula telah menampilkan aksi yang jauh lebih menyakinkan daripada 'senior' dan 'junior' mereka. Anak buah Terry Burton telah mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Bolton dan 3-0 ke atas Blackburn. Dengan Sanchez Watt menjaringkan satu gol sementara Thomas Eisfeld yang menyinar di jelajah Asia Arsenal bulan lepas, menjaringkan 2 gol. Conor Henderson pula meledak 3 gol dengan satu daripadanya menerusi sepakan penalti.


Agak sukar untuk memilih pemain terbaik U-21 Arsenal dengan penjaga gol, James Shea cukup menyerlah sementara pemain tengah, Chuks Aneke dan penyerang, Chuba Akpom turut menyinar sementara Thomas Eisfeld dan Conor Henderson bukan sahaja menyerlah tetapi turut menjaringkan gol. So akhirnya Atikah menyerah untuk memilih pemain terbaik kerana kesemuanya berhak menerimanya.

 Skuad U-19 Arsenal yang melalui kempen NextGen Series yang ala-ala mini Champions League telah menyaksikan skuad yang dikendalikan Terry Burton dan diketuai oleh Nico Yennaris telah mencatatkan kemenangan menyakinkan ke atas Marseille U-19 3-0. Walaupun mempunyai krisis penjaga gol sehingga Arsenal terpaksa membawa masuk penjaga gol muda, Reading, Stuart Moore secara pinjaman, ianya jelas tidak langsung menggangu rentak perlawanan Arsenal.

Atikah rasa Chuba Akpom untuk dinamakan sebagai pemain muda terbaik Arsenal. Akan berusia 17 tahun pada Oktober ini, Akpom telah beraksi cemerlang untuk skuad U-21 Arsenal dan sekali lagi untuk skuad U-19 Arsenal. Jika Akpom meneruskan prestasi baik ini tidak mustahil jika Arsene Wenger memanggil penyerang muda ini untuk aksi bersama skuad utama di Piala Carling yang kini dikenali sebagai Capital One Cup.

Skuad Arsenal Ladies pula seperti kebiasaannya akan menerima sedikit nota atas persembahan mereka walaupun jelas sekali mampu membayangi pasukan lelaki Arsenal dengan kejayaan mereka. Selepas memberikan ruang kepada Olimpik, Ladies kembali dengan 5 mata mendahului liga dan perlawanan pertama mereka adalah menentang musuh ketat, Everton Ladies. Perlawanan yang tidak mudah dan kedua-dua pasukan lebih daripada mampu untuk menundukkan satu sama lain.

Pada akhirnya Arsenal Ladies terpaksa bangkit 2 kali sebelum mengikat Everton terima kasih kepada sepakan penalti Kim Little dan gol cantik daripada Jordan Nobbs. Perlawanan kedua mereka di bulan Ogos menentang Doncaster Rovers Belles lebih mudah. Laura Harvey membuat keputusan untuk mengetepikan penolong kapten pasukan Jayne Ludlow yang kembali daripada kecederaan semasa seri 2-2 dengan Everton dengan memberikan kepercayaan kepada pemain muda, Nobbs.

Jika sebelum ini Nobbs hanya memerlukan lebih kurang satu minit untuk menjaringkan gol selepas masuk sebagai pemain gantian, Nobbs telah menjaringkan 2 gol menentang Doncaster sebelum Katie Chapman dan Kim Little memastikan kemenangan selesa 4-0 Arsenal untuk menerajui liga dengan 8 mata mendahului dengan hanya berbaki 5 perlawanan.

Perlawanan terakhir Ladies di bulan Ogos dan perlawanan pertama mereka di Borehamwood sejak Olimpik telah menyaksikan Ladies hanya mampu seri 1-1 dengan Bristol Academy terima kasih atas gol cantik Kelly Smith. Gol ketiganya untuk Arsenal dalam 4 perlawanan sejak kembali menyertai kelab menunjukkan mengapa Kelly dianggap penyerang terhebat Arsenal Ladies dan juga pasukan England.

Laura Harvey membuat beberapa pertukaran seperti merehatkan Katie Chapman dan memberikan permulaan kesebelasan utama kepada penolong kapten pasukan, Jayne Ludlow buat pertama kalinya sejak April. Ellen White turut masuk menggantikan Rachel Yankey. Ianya dilihat kerana Arsenal akan menentang Bristol sekali lagi pada Isnin depan pada perlawanan separuh akhir Piala Continental.

Perlawanan menentang Bristol tidak akan pernah mudah terutama sekali apabila mereka bermain secara bertahan namun Ladies pastinya kecewa apabila hanya mampu mencatatkan keputusan seri dan kini terpaksa menyaksikan mereka hanya mendahului 6 mata di puncak liga walaupun mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan 3 mata penuh.

Pemain terbaik Arsenal Ladies pada bulan Ogos Atikah berikan kepada Kelly Smith. Walaupun pada mulanya Atikah mahu berikannya kepada Jordan Nobbs, namun gol yang dijaringkan Kelly telah membuatkan Atikah memilihnya. Kelly walaupun tidak menjaringkan gol telah mencipta peluang kepada rakan sepasukannya dan 2 gol Nobbs di  Doncaster merupakan sumbangan Kelly dan gol dari jarak hampir 30 meter Kelly sememangnya layak memberikannya anugerah pemain terbaik Arsenal Ladies pada bulan Ogos.

0 comments:

Post a Comment